Bukan ‘tin kosong’, bintang K-pop berstatus genius

KEBIASAANNYA masyarakat kita menganggap selebriti hanya menjual wajah dan bakat demi mengecap populariti.

Malah, ada juga berpendapat mereka tidak perlu belajar tinggi untuk mengggapai kejayaan kerana sudah memahat nama di peringkat tertinggi.

Namun, siapa sangka ada dalam kalangan bintang K-pop, ada yang memiliki tahap kebijaksanaan luar biasa sehingga dilabel sebagai genius.

Rata-rata mereka memiliki markah melebihi 100 selepas menjalani ujian IQ (intelligence qoutient) atau bermaksud darjah kecerdasan iaitu jumlah skor diperoleh daripada set ujian piawaian yang direka untuk menilai kecerdasan manusia.

Mesti ramai tertanya-tanya siapa antara artis yang dimaksudkan. Sehubungan itu, Daebak menyenaraikan beberapa genius K-pop dan kisah ringkas mereka.

Hani Exid

PENYANYI jelita Hani daripada kumpulan Exid merupakan seorang yang sangat genius apabila memiliki 145 markah dalam ujian IQ.

Semasa mengambil Test of English for International Communication (TOEIC) atau Ujian Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa dan belajar bahasa Inggeris selama dua bulan, dia berjaya mendapat markah 900 daripada 990.

Selain itu, penyanyi yang juga pelakon drama Idol: The Coup itu sangat fasih berbahasa Mandarin kerana pernah menyambung pelajar di China selama setahun.

Dalam sebuah temu bual bersama media, selebriti berusia 32 itu memaklumkan keinginannya untuk menjadi ahli psikologi dan sangat berminat untuk mendalami bidang tersebut.

RM BTS

RAMAI mengetahui bahawa penyanyi kumpulan BTS iaitu RM sangat bijak kerana memiliki 148 markah selepas menjalani ujian IQ.

Lelaki berusia 30 tahun itu juga mahir berbahasa Inggeris dan mudah berkomunikasi sekiranya bekerja di luar negara.

Malah, dia antara perancang serta penyelesai segala isu dalam mengatur pelan bersama kumpulannya.

Ini terbukti apabila pemilik nama lengkap Kim Nam-joon itu mudah menyelesaikan permainan teka kata selain bijak merencana projek baharu BTS.

Lebih mengagumkan apabila penyanyi rap itu berada dalam kalangan 1.3 peratus pelajar terbaik negara dalam peperiksaan sekolah menengah bagi matematik, bahasa asing dan pengajian sosial.

Tablo Epik High

SIAPA sangka, penyanyi Tablo merupakan lepasan ijazah sarjana muda dalam Kesusasteraan Inggeris dan Penulisan Kreatif dari Universiti Stanford.

Biarpun berdepan banyak kontroversi sepanjang pengajiannya, tetapi tidak dapat dinafikan geliga otak penyanyi kumpulan Epik High itu.

Dalam masa sama, ada yang mengatakan bahawa IQ pemilik nama sebenar Daniel Armand Lee, 44, setara dengan Albert Einstein iaitu bersamaan 160 markah dalam ujian IQ.

Kim Tae-hee

BUKAN sahaja memiliki wajah cantik dan kaya, pelakon Kim Tae-hee juga terkenal dengan kebijaksanaannya yang memiliki 140 markah dalam ujian IQ.

Aktres berusia 44 tahun itu merupakan kelulusan pusat pengajian berpengaruh iaitu Universiti Kebangsaan Seoul (SNU).

Dia juga pernah berkongsi mengenai minat yang kurang dalam mata pelajaran kajian sosial, namun lebih meminati subjek matematik yang mempunyai jawapan tepat.

Keinginan untuk memasuki SNU berkobar-kobar dan dia tidak berputus asa sebelum layak mendaftar masuk ke universiti itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok