BERGELAR selebriti papan atas bukanlah jaminan bahawa kehidupan mereka akan sentiasa ditaburi bunga dan bebas blok dugaan.
Hakikat malang tak berbau, tiada siapa dapat menjangka bilakah insiden atau peristiwa buruk bakal menimpa yang sedikit sebanyak meninggalkan trauma mendalam baik dalam kehidupan mahupun karier seni.
Insiden buruk bukan sahaja bermaksud kemalangan tetapi meliputi keseluruhannya termasuk skandal yang mencacatkan perjalanan seni.
Kimchi Panas minggu ini merangkumkan kisah beberapa aktor yang pernah berdepan ‘kemalangan’ luar biasa.
Lee Dong-wook
Lee Dong-wook pernah terpalit dalam khabar angin yang mendakwa dirinya tergolong dalam kelompok gereja Shincheonji, sebuah organisasi keagamaan Kristian di Korea yang dilaporkan bertanggungjawab atas penyebaran Covid-19 di Daegu.
Tuduhan tersebut tersebar luas sehingga menyebabkan aktor berusia 42 tahun itu diboikot orang ramai.
Bagaimanapun, dia menafikan segala tuduhan dan ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang sewenang-wenangnya memfitnah.
Kim Jung-hyun
Aktor yang terkenal menerusi drama fenomena Crash Landing On You ini lain pula ceritanya. Kim Jung-hyun pernah berehat dari dunia lakonan selama setahun kerana sakit.
Jejaka berusia 34 tahun itu menderita penyakit gangguan makan dan eating disorder sehingga mengganggu bukan sahaja kelancaran karier lakonannya malah ,memberi kesan kepada mental dan fizikal.
Jung-hyun didiagnosis penyakit tersebut ketika membintangi drama Time (2018) bersama anggota kumpulan SNSD dan ketika itu, dia terpaksa meninggalkan set penggambaran untuk menerima rawatan.
Tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya dek ditimpa kejadian sedemikian, watak yang dimainkan dalam drama itu terpaksa dihapuskan begitu sahaja.
Begitupun, kariernya selepas itu semakin memuncak apabila berjaya membuat ‘comeback’ menerusi drama Crash Landing On You menerusi watak Goo Seung-joon.
Lee Min-ki
Aktor kacak yang cukup dikenali menerusi drama Because This is My First Life ini pernah diseret dalam skandal palsu yang hampir menghancurkan kerjaya seninya.
Pada tahun 2016, Lee Min-ki dilaporkan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di sebuah kelab yang terletak di Busan.
Min-ki, 39, dikecam bertalu-talu sehingga ada yang melabelkannya sebagai perogol dan menyalahkan ibu bapa pelakon itu kerana membesarkan anak dengan cara salah.
Setelah melakukan penyiasatan yang teliti, Lee Min-ki terbukti tidak bersalah dan apa yang berlaku adalah fitnah semata-mata.
Mahu nama tidak terus tercemar, agensinya menjelaskan bahawa meskipun Min-ki memang pergi ke kelab tersebut, namun dia tidak langsung terlibat dalam kes serangan seksual dan hanya berhibur dengan muzik.
Membawa perkara tersebut ke muka pengadilan, wanita yang mengemukakan tuduhan tersebut akhirnya melakukan permohonan maaf secara terbuka.
Lee Min-ho
Pelakon drama fenomena The Legend of the Blue Sea ini pernah terlibat dalam kemalangan kereta yang menyebabkan kematian penumpang dan pemandu lain pada tahun 2006.
Lee Min-ho yang cukup popular ketika itu terpaksa berdepan kesakitan akibat kecederaan daripada kemalangan tersebut sekali gus perlu berada di hospital selama berbulan-bulan.
Aktor berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan pada tulang paha, pergelangan kaki, dan tulang rawan pada lututnya koyak menyebabkan pahanya terpaksa dimasukkan besi sepanjang 46 sentimeter.
Terpaksa kembali aktif berlakon kerana nama masih di puncak, Min-ho tidak dapat menerima rawatan yang mencukupi dan masih merasakan kesan sampingan daripada kecederaan tersebut.
Akibatnya, dia tidak dapat mendaftarkan diri dalam latihan ketenteraan pada ketika itu.