Ketinggian bukan jaminan kejayaan idola K-Pop

IDOLA lelaki K-Pop kebiasaannya sinonim dengan penampilan yang serba ideal seperti berwajah tampan, berbadan kekar dan ketinggian persis model.

Ini kerana penampilan serba lengkap sering mendapat perhatian selain didambakan peminat wanita.

Bagaimanapun, semua itu tidak bermakna idola yang memiliki kekurangan fizikal, misalnya tidak mencapai ketinggian selayaknya lelaki idaman sukar mendapat tempat dalam industri.

Ada antara idola yang memiliki ketinggian bawah 172 sentimeter (sm) tetapi tetap popular serta meraih perhatian ramai.

Berikut antara idola berbakat besar walaupun bertubuh kecil, berbanding jejaka K-Pop yang lain.

Jinho

AHLI kumpulan Pentagon iaitu Jinho yang memiliki ketinggian 168 cm aktif sebagai penyanyi, penulis lirik, penari, komposer dan guru vokal.

Berasal dari Daejeon, Korea Selatan, penyanyi lelaki itu mulakan debut dalam industri hiburan pada tahun 2016.

Pemilik nama lengkap Jo Jin-ho itu terkenal selepas menjadi vokalis dalam Pentagon, malah anggota terendah dalam Pentagon itu sebenarnya aktif berteater.

Jadi, tidak mustahil dia lebih dikenali berbanding ahli lain kerana penglibatan aktifnya dalam pelbagai cabang seni.

Mashiho

MEMILIKI ketinggian 169 cm, penyanyi Mashiho membuktikan fizikal bukan faktor utama untuk popular.

Meskipun agak rendah berbanding idola K-Pop lain, pemilik nama lengkap Takata Mashiho itu juga aktif bersukan terutama golf dan bola keranjang.

Anak kelahiran Jepun itu merupakan ahli terendah dalam kumpulan Treasure.

Jodohnya dengan Treasure tidak panjang apabila mengambil keputusan berundur pada 8 November 2022.

Sejak itu dia menyepi dari dunia hiburan sehingga ke hari ini.

Han

Han Ji-sung atau lebih mesra disapa Han merupakan penyanyi dan penari kumpulan Stray Kids.

Memiliki ketinggian 169 cm bukan penghalang bagi Han untuk menggapai impian sebagai penyanyi.

Selepas mengikuti pelbagai uji bakat, akhirnya dia diterima sebagai pelatih di JYP Entertainment ketika berusia 14 tahun.

Kehadiran Han mula disedari selepas muncul bersama Stray Kids.

Menambah popularitinya, Han dijulang dengan pelbagai anugerah termasuk menerusi acara Asia Artist Awards (AAA2018) dengan trofi Rookie of the Year.

Trofi lain yang dimenangi, termasuklah Artis Baharu Terbaik (Golden Disc Awards 2019) dan New Star Award (AAA2019).

Woozi

Melihat foto-foto kumpulan Seventeen, pasti mata akan tertumpu kepada penyanyi Woozi.

Hal ini kerana saiz fizikalnya yang sangat ketara berbeza  dengan ketinggian hanya 164 cm.

Ada satu ketika, tular mengenai Woozi yang kelihatan sangat pendek apabila berada di sebelah ahli kumpulan TXT iaitu Soobin.

Begitupun, ramai peminat memuji keadaan fizikal pemilik nama sebenar Lee Ji-hoon itu yang dianggap comel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok