PELAKON Lee Dong-gun masih trauma selepas adik kesayangan mati dibunuh ketika belajar di luar negara di Australia suatu ketika dahulu.
Pelakon tampan itu juga memberitahu adiknya meninggal dunia 15 tahun lalu pada usia yang terlalu muda iaitu 20 tahun.
Saya tidak dapat bayangkan wajah adik saya ketika ini berumur 36 tahun kerana masanya terhenti ketika dia berumur 20 tahun.
“Sakit rasanya untuk menerima sebuah hakikat dia yang saya idolakan telah pergi buat selamanya.
“Selepas saya pergi ke Australia untuk menguruskan pengebumian, saya terus menatap wajah ibu kemudian ayah. Saya menyedari betapa berat dan sukarnya menghadapi kehilangan insan yang disayangi.
Luka kehilangan itu terlalu dalam, sehingga kini masih segar dalam ingatan saya,” ujarnya dalam satu rancangan temu bual.
Adik lelaki Dong-gun secara tragis ditikam oleh dua lelaki yang menuduhnya merenung mereka. Insiden itu dilaporkan berlaku berhampiran Menara Sydney.