Trauma dimanipulasi dan ditipu individu yang dipercayai, anggota kumpulan Shinhwa, Minwoo mengakui kini semakin berhati-hati memilih kawan.
Jelas penyanyi tampan itu, selebriti lebih terdedah kepada penipuan, biasanya bukan daripada orang yang tidak dikenali, tetapi daripada kenalan rapat yang dipercayai.
“Kelakuan individu yang saya kenal hampir 20 tahun itu sangat mengejutkan, saya tak sangka dia tergamak memanipulasi saya demi kepentingannya.
“Sejak kejadian itu, saya mengalami kesukaran bernafas, nafas saya jadi pendek. Saya pergi ke klinik kesihatan mental dan didiagnosis miliki gangguan tekanan akibat trauma.
“Saya berasa seolah-olah saya ditahan secara mental dan hidup bawah kawalan jari jemari orang luar, macam hidup bukan milik saya,” jelasnya panjang lebar.
Penghibur berusia 44 tahun itu sempat menitipkan pesanan kepada peminatnya agar berhati-hati dengan sesiapa pun dalam dunia ini kerana tidak semua orang berhati mulia.