Alumni Running Man tiada ganti

MINGGU lalu, dunia hiburan K-pop dikejutkan dengan berita pengunduran pelakon Jeon So-min yang membuat pengesahan mahu meninggalkan rancangan realiti popular Running Man.

Lima tahun menghiburkan penonton, berita pengunduran So-min bagaimanapun tidak mengecewakan peminat, bahkan ada pihak dilihat bergembira me­nyambut khabar ‘angkat kaki’ pelakon itu.

Hal ini kerana sejak tahun lalu So-min berdepan kebencian dan desakan ramai agar segera berundur daripada program berkenaan. Peminat dikatakan menyampah melihat telatahnya yang menjengkelkan lebih-lebih lagi apabila berdepan kemunculan tetamu lelaki.

Pengunduran begini bukan kali pertama Running Man. Sudah beberapa kali berdepan situasi serupa, masing-masing keluar dengan alasan tersendiri.

Lee Kwang Soo

LEE KWANG-SOO

Hiba. Itu yang diluahkan peminat apabila mengetahui pelakon Lee Kwang-soo ingin meninggalkan keluarga Running Man selepas 11 tahun menceriakan penonton dengan telatah lucunya.

Kwang-soo yang terkenal dengan sikap kelakar tidak dapat meneruskan aksi dalam Running Man demi memikirkan keadaan kesihatannya.

Pada 2019, Kwang-soo terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan keretakan buku lali kaki kanannya.

Meskipun sudah tiga tahun meninggalkan Running Man, namanya tetap meniti di mulut setiap ahli dan pihak produksi rancangan tersebut.

Lizzy

LIZZY

Ramai yang tidak tahu, ahli kumpulan After School iaitu Lizzy juga pernah menyertai rancangan popular Korea Selatan tersebut.

Mulanya dia muncul sebagai tetamu dalam episod 13 dan 14. Setelah itu, Lizzy mula menjadi peserta utama Running Man dalam episod 18.

Tidak lama kemudian, pemilik nama lengkap Park Soo-ah itu meninggalkan Running Man pada episod 28 dengan alasan ada pertindihan jadual aktivitinya.

Setelah lima tahun tidak muncul, Lizzy kembali lagi sebagai tetamu dalam episod ke-292.

Kang Gary

KANG GARY

Sepanjang Running Man bersiaran, penyanyi Kang Gary sering dikaitkan dengan kisah cinta bersama Song Ji-hyo.

Tanggapan liar tercetus memandangkan mereka sering menunjukkan aksi romantis dalam setiap misi yang dijayakan.

Sewaktu pemilik nama sebenar Kang Hee-gun itu mengumumkan ingin meninggalkan Running Man, peminat dihimpit kesedihan memandangkan dirinya seorang ahli yang lama berada dalam rancangan tersebut.

Kang keluar daripada Running Man untuk memberi tumpuan terhadap karier muzik.

Song Joong-ki

SONG JOONG-KI

Dari awal Running Man bersiaran, pelakon Song Joong-ki sangat terkenal dengan kepintaran, semangat, sering mencuba perkara baharu dan hebat menyusun strategi.

Bagaimanapun, kehebatan yang ditonjolkan juga sering mengakibatkan kegagalan dalam setiap misi.

Namun, Joong-ki mengambil keputusan untuk meninggalkan Running Man pada episod ke-41 bagi memberikan fokus terhadap karier lakonannya.

Impiannya kini tercapai apabila semakin dikenali dengan drama bersiri popular Descendants Of The Sun yang dilancarkan pada tahun 2016.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok