KETIKA rakan sebaya bebas menikmati kehidupan tanpa ada lensa memerhati, berbeza buat penyanyi Ismail Izzani yang mengakui dahulunya terpaksa hidup penuh berhati-hati.
Mana tidaknya, sebelum ini nama jejaka berusia 24 tahun itu tidak pernah sunyi daripada terpalit kontroversi panas dengan beberapa kontroversi. Ada sahaja sensasi meledak mengaitkan dirinya.
Ketika nama dan karier terus diseret perihal kurang menyenangkan, pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri itu kemudiannya hilang dari radar seni, sunyi sepi tanpa sebarang perkembangan.
Berpeluang bertemu empat mata dengan pelantun lagu Luar Biasa itu, penulis tidak melepaskan peluang untuk bertanya perkembangan terkini dan atas alasan apa dia menghilang sebelum ini.
Hampir dua tahun mendap tanpa sebarang berita, Ismail mengakui tempoh itu dimanfaatkan dengan meluangkan masa bersama keluarga dan mencipta semula detik indah bersama insan tersayang.
Memulakan karier seni pada usia 17 tahun dan memilih tinggal bersendirian, Ismail yang mesra disapa Mail itu mengakui banyak momen istimewa bersama keluarga, terlepas begitu sahaja.
“Saya mula menyanyi pada usia antara 16 hingga 17 tahun. Ketika itu, saya pilih untuk tinggal sendirian kerana saya buat studio di rumah.
“Keluarga kami tidak besar, namun kehadiran anak saudara membuatkan saya ingin meluangkan lebih banyak waktu bersama keluarga.
“Kehadiran anak saudara yang menjadi buah hati pengarang jantung sejak tiga tahun lalu menjadi antara punca saya tersedar untuk meluangkan lebih banyak waktu bersama keluarga,” katanya kepada Pose.
Selain mahu kembali mencipta momen bahagia bersama keluarga, anak kepada penyanyi veteran, Suliza Salam itu juga memberitahu, dia ketika itu sedang sibuk mencari material segar untuk lagu terbaharunya.
Berhempas pulas dalam tempoh itu, Ismail akhirnya membuat kemunculan semula dengan lagu berentak afrobeats berjudul Iman yang dicipta penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow.
Menariknya, dendangan itu menampilkan genre muzik yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan single yang pernah dirakam Ismail sebelum ini seperti Sabar dan Demi Kita.
Kendatipun menyedari segelintir peminatnya seperti kurang menerima perubahan genre muzik yang diketengahkannya itu, Ismail percaya setiap orang ada pilihan untuk suka mahupun sebaliknya terhadap sesuatu perkara.
Bagaimanapun, Ismail percaya peminat barangkali memerlukan sedikit masa untuk menghadam bunyi baharu yang dimuatkan dalam karyanya itu.
“Saya tahu ada komen peminat kecewa dengan lagu itu. Ada yang persoal kenapa keluar lagu macam ini. Saya terima teguran mereka.
“Saya tandatangani kontrak dengan Def Jam kerana saya suka karya mereka yang di luar kotak.
“Lagipun, saya tidak mahu terlalu selesa. Takkanlah sampai usia akhir 30-an masih lagi menyanyikan lagu pop, R&B atau tarian sahaja. Saya muncul semula dengan nafas baharu agar karier saya bervariasi,” tuturnya serius.