KEKAL jelita persis anak dara pada usia 55 tahun membuatkan banyak mata memandang sehingga nama Datin Maria Farida terus menjadi buat mulut ramai dalam media sosial.
Kata orang, jika sudah melepasi usia 50 tahun, pasti mempunyai petua mahupun amalan yang menjadi rutin bagi memiliki tubuh badan sihat dan wajah kekal awet muda.
Tiada rahsia, itu yang berulang kali meniti di bibir Maria atau nama penuhnya Maria Farida Atienza tatkala diminta berkongsi sebarang petua untuk memiliki wajah kekal jelita sepertinya.
Menurut Maria, dia bukan individu yang layak untuk berkongsi sebarang tip kerana tidak mempunyai rutin khas seperti diminta ramai.
“Kalau orang tanya saya tentang tip atau petua, itu paling sukar nak jawab.
“Sebenarnya saya tiada tip, tak layak kongsi petua pun sebab saya makan banyak coklat, tidur tak cukup dan mengunyah ais.
“Jadi, macam mana nak beri tip kalau rutin hidup begitu?” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam pada itu, kejelitaan yang dimiliki pelakon drama Astana Idaman itu turut memberinya julukan sebagai ‘vampire’.
“Terima kasih atas semua pujian tersebut. Syukur dengan rezeki Tuhan ini.
“Walaupun selalu habiskan masa di set penggambaran berjam-jam lama dan tak cukup tidur selain terima kasih untuk solekan sebab bantu nampak wajah lebih muda.
“Ini anugerah Tuhan dan mungkin juga disebabkan keturunan keluarga (wajah awet muda),” ujarnya.
Dalam pada itu, dia bersyukur kerana masih menjadi pilihan penerbit dan stesen televisyen pada usia yang sudah melepasi jubli emas.
“Saya pun tak sangka pada usia ini, produser dan pengarah masih memberi kepercayaan untuk mengambil saya berlakon dalam naskhah mereka.
“Semua itu buat saya rasa masih diperlukan dalam industri ini, alhamdulillah,” tuturnya.
Buli siber
Terbuka berkongsi pandangan tentang isu buli siber yang semakin meruncing, dia mendedahkan pernah menjadi mangsa kecaman netizen sebelum ini.
Baginya, buli siber seperti sudah menjadi budaya negatif dalam media sosial yang menghentam mana-mana individu tanpa belas kasihan.
“Kecewa dengan kes buli siber yang semakin hari, semakin meruncing,” kongsinya.
Tambahnya, buli siber juga tidak selari dengan budaya rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap sopan santun.
“Orang Malaysia sebelum ini terkenal dengan sikap berbudi bahasa dan baik hati tetapi disebabkan media sosial, mereka semakin menjadi-jadi dan seperti wujud satu geng.
“Semua ini harus dihentikan. Tolonglah lakukan sesuatu sebab sudah semakin melampau dan ini bukan budaya kita,” tuturnya lagi.
Dalam masa sama, Maria turut mengulas tentang dirinya yang ‘keras’ dikecam kerana sering tampil dengan imej mencolok mata.
“Saya sudah bertahun-tahun dihentam sebab penampilan dan pakaian tetapi memang abaikan sahaja.
“Kenapa hendak biar orang (netizen) kawal kehidupan kita? Kalau tak boleh terima, tutup sahaja ruangan komen media sosial sebab itu hak kita,” jelasnya lagi.
Biarpun kerap menjadi sasaran kecaman netizen, dia tidak pernah gentar apatah lagi melawan kerana merasakan perkara tersebut tindakan sia-sia.
“Kalau komen melampau sekali pun, saya hanya akan abaikan dan teruskan hidup.
“Lantaklah apa orang nak kecam, sekurang-kurangnya mereka masih bercakap tentang saya.
“Saya juga bukan lagi di fasa takut dengan kecaman sebab sudah terbiasa, terima sahaja semua itu. Selagi berada dalam industri ini, memang tidak boleh lari,” kongsinya menutup perbualan.