Biarlah saya dikenali sebagai ‘Iron Man’

HAMPIR dua dekad berkelana dalam industri seni tanah air dengan meraih pelbagai pencapaian, hampir mustahil jika khalayak tidak mengenali susuk serba boleh bernama Alif Satar. 

Mana tidaknya, jika boleh disenaraikan, pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd. Satar itu kaya dengan cerita baik dan selayaknya dilabel artis paling bersih kontroversi.

Berpasak teguh pada bakat dimiliki lelaki berusia 34 tahun itu perlahan-lahan membina jenama tersendiri menerusi kemampuannya dalam dunia nyanyian, lakonan dan pengacaraan. 

Pendek kata, tiada istilah sendu dalam kerjaya seni artis versatil itu.

Sebagai penyanyi dan pelakon, Alif sudah cukup ampuh dengan deretan lagu hits dan membintangi banyak drama fenomena.

Pelantun lagu Lebih Indah itu juga cemerlang sebagai pengacara prolifik dengan pengalaman luas dalam mengendalikan acara mega seperti Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali selain deretan program hiburan kendaliannya.

Dia juga sukses bergelar usahawan dengan pelbagai jenis perniagaan selain menjadi tunjang kepada kempen Subuh Macam Jumaat yang kini, ‘mendunia’.

Berpengaruh dan penuh inspirasi, nama Alif pernah meledak dalam media sosial sebelum ini apabila ramai netizen berpendapat bapa kepada tiga anak itu selayaknya dianugerahkan gelaran Datuk. 

Tersenyum mendengar semua itu, pemenang Anugerah Artis Versatil Popular itu bertegas, belum lagi layak untuk menyandang gelaran berkenaan.

“Saya hargai komen semua orang tetapi bagi saya secara peribadi, saya belum cukup layak lagi untuk mendapat gelaran Datuk, memang jauh sekali.

“Apa saya buat ini apalah sangat jika dibandingkan dengan sumbangan orang lain yang jauh lebih besar, gelaran itu satu bonus tetapi macam semua orang tahu, biarlah saya dikenali sebagai ‘Iron Man’,” ujarnya berjenaka. 

Ditanya pula mengenai pendapat orang ramai menyifatkannya sebagai artis muda yang layak terjun ke bidang politik, Alif sekali lagi ketawa besar. 

Kata lelaki bermata bundar itu, dia tidak perlu menjadi ahli politik untuk berkhidmat kepada masyarakat atau negara, sebaliknya hanya melakukan apa yang bermanfaat kepada khalayak.

“Saya berminat berkhidmat untuk negara dengan cara sendiri. Tak semestinya menjadi ahli politik dan saya belum layak membawa gelaran Datuk. 

“Saya hanya mahu buat sesuatu yang dapat menyatukan masyarakat. Tak kiralah sama ada melalui kempen Subuh Macam Jumaat atau apa juga usaha yang sewaktu dengannya.

“Saya sudah pun lakukan semua itu tanpa perlu saya membawa gelaran Datuk mahu pun menjadi ahli politik,” katanya kepada Pose.

Disoal pula apakah amalan atau rahsia kejayaan seorang Alif Satar, dia mengakui, apa yang dicapai sekarang adalah ujian dari Tuhan.

“Sudah 18 tahun saya terlibat dalam industri seni. Bermula pada usia 16 tahun, pernah menyanyi di pasar, sampailah tahap yang saya capai sekarang. 

“Apa yang saya belajar adalah bagaimana untuk menjaga kepercayaan yang orang bagi kepada saya. Saya bina semua ini berbelas tahun, Tuhan boleh tarik bila-bila masa. 

“Apa yang saya miliki adalah ujian dari Allah S.W.T. Senang dan susah malah segala pujian yang orang layangkan kepada saya, adalah ujian. 

“Allah sedang melihat apa yang saya lakukan,” tutupnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok