Nasib saya tak mati di Indonesia – Hasif Upin

NAMA penyanyi Hasif Upin semakin menyerlah selepas lagu duetnya bersama diva pop, Ziana Zain berjudul Waktu meledak sehingga bolos ke pentas Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38).

Enggan kariernya tertumpu kepada satu cabang seni sahaja, jejaka berusia 31 tahun itu mencuba nasib dengan berjinak-jinak dalam dunia lakonan .

Mengulas perkembangan itu, Hasif berkongsi detik cemas dilalui sewaktu menjalani penggambaran filem pertama lakonannya, Paku Tanah Jawa di Jogjakarta, Indonesia tahun lalu.

Hasif atau nama sebenarnya Muhamad Hasif Sharaudin berkata, kejadian menakutkan itu membuatkannya trauma sehingga gagal melontarkan dialog dengan baik dalam beberapa babak.

“Sehari sebelum penggambaran, berlakunya gempa bumi yang mencetuskan ketakutan hingga boleh nampak impak insiden tersebut dalam filem.

“Saya menangis, anxiety (keresahan) dan menggigil. Itu kali pertama saya berdepan kejadian gempa bumi.

“Semasa menjalani penggambaran saya bimbang sekiranya ada gempa susulan. Disebabkan itu saya tidak boleh fokus pada lakonan,” katanya kepada Pose.

SEBELUM bergelar penyanyi, Hasif merupakan seorang pempengaruh yang banyak menghasilkan kandungan video dalam platform media sosial.

Berkongsi lanjut kejadian tersebut,  anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu berkata dia menyedari berlakunya gempa selepas mendengar teriakan penduduk setempat.

Gegaran pada katil membuatkannya terjaga daripada tidur dan lari menyelamatkan diri pada malam itu.

“Ketika itu saya dengar orang menjerit Allahuakhbar, ingatkan sudah subuh rupa-rupanya gempa bumi.

“Saya dapat rasakan gegaran dan hentakan, macam tak percaya sebab ingat ada gangguan benda halus.

“Kejadian itu berlaku pada tengah malam ketika sedang tidur. Semua orang sudah keluar, tiada siapa kejutkan saya,” ujarnya.

Sambung pelantun lagu Dilema itu lagi, dalam kejadian dia reda sekiranya menemui ajal memandangkan rumah yang dihuni boleh runtuh pada bila-bila masa. 

Namun, dia bersyukur bencana alam tersebut tidak berulang dan penggambaran dapat diteruskan seperti mana yang dirancang. 

“Ketika itu saya dah reda kalau mati di Indonesia. Mana tidaknya, chalet yang saya duduk itu macam kurang kukuh.

“Jadi saya risau kalau runtuh. Syukur, gempa itu tidak berulang,” kongsinya.

Menerusi naskhah seram Tanah Paku Jawa, Hasif membawakan watak Fandi yang merupakan pembantu  kepada Datuk Amir lakonan MK K-Clique.

Meski ada suara sumbang menyindir wataknya  kecil dan tidak meninggalkan impak, Hasif tetap melihat itu peluang terbaik untuknya menyusun langkah sebagai pelakon apatah lagi dapat bergandingan dengan pelakon handalan genre seram, Masayu Anastasia.

Selain mereka, Paku Tanah Jawa turut dibintangi bintang seberang, Gisellma Firmansyah dan Landung Simatupang.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok