APABILA berbicara tentang kisah rumah tangga artis, topik tersebut pastinya akan menjadi perhatian masyarakat yang dahagakan sensasi.
Lebih mengujakan ramai pastinya perceraian, pergolakan rumah tangga mahupun perebutan hak penjagaan anak. Itu makanan buat netizen yang suka menjaga tepi kain selebriti.
Namun berbeza dengan pasangan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, perkahwinan yang indah terbina kelihatan mengalir bahagia dan diselubungi bahagia bersama empat cahaya mata.
Bahkan netizen senang melihat keharmonian perkahwinan pasangan pelakon yang juga bergelar usahawan itu.
Itu secara zahirnya terlihat, namun siapa sangka, perkahwinan yang terbina sejak 13 tahun lalu itu sebenarnya sering dihantui perkara mistik.
Berkongsi panas dingin mahligai perkahwinan, Wawa atau nama lengkapnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 33, tidak menafikan berdepan gangguan yang cuba menggoncang keutuhan rumah tangganya.
“Kita pun sebenarnya macam-macam sahaja ada orang hantar (sihir) itu dan ini. Ada yang cuba kacau rumah tangga kita. Kadang-kadang dekat pejabat kita jumpa barang pelik-pelik.
“Baru-baru ini, ada juga dekat rumah, tiga hari lepas. Saya jumpa batang pinang, limau dan duit syiling dibakar,” ujarnya kepada Pose
Mengulas lanjut ibu kepada empat cahaya mata itu menceritakan pengalaman mistik yang pernah dilaluinya bersama suami.
Kejadian seumpama itu membuatkan dirinya trauma sehingga lebih berhati-hati dalam berkongsi kebahagiaan keluarga secara umum di media sosial.
“Saya akui perkara-perkara ini memang menakutkan kami sekeluarga. Sebelum ini pun kami pernah diganggu, sampaikan duit syiling keluar dari tubuh saya dan Aeril. Itu antara pengalaman mistik kami lalui.
“Semoga perkara ini tidak berlanjutan. Takut sebenarnya, nak buat hantaran video dan gambar dalam media sosial. Sebab hati orang kita tidak boleh nak baca.
“Kadangkala nak kongsikan dengan orang ramai fikir banyak kali. Rasa macam nak kerja belakang tabir sebab trauma. Disebabkan perniagaan saya, terpaksa juga berada di hadapan kamera, tidak boleh ke belakang,” tegasnya.
Lantaran itu, dia dan keluarga memperbanyakkan amalan kerohanian sebagai pendinding dan berharap agar pelaku tersebut insaf serta sedar atas kesalahannya
“Apa yang kami boleh buat adalah jangan tinggalkan amalan (agama). Kami hanya mampu berdoa dan berharap gangguan-gangguan seperti ini tidak berlanjutan.
“Orang yang buat ni tak takut ke kena. Kita kalau nak buat orang mesti terfikir balasan di akhirat dan didunia juga sebenarnya sudah boleh menerima kifrah itu. Itulah manusia lain kan hati-hatinya,” luahnya.
Dalam perkembangan lain, Wawa kini sedang sibuk mempromosikan filem pertama terbitan suaminya sendiri berjudul Abnormal Buas yang sudah ditayangkan di pawagan sejak 20 Jun lalu.
Menurutnya, naskhah tersebut menyajikan alur cerita sarat isu kesihatan mental selain mengangkat genre ‘psycho-thriller’ yang jarang dibuat pemain filem tempatan.
Selain Wawa dan Aeril, filem tersebut dibintangi ramai pelakon senior hebat seperti Ahmad Yatim, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Shaheizy Sam, Nabila Huda, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila.