Mila Jirin idam mini showcase

SELAMA lapan tahun sepi tanpa sebarang lagu baharu, kemunculan semula bekas juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila Jirin, menerusi lagu Sandera kembali menghangatkan industri seni tanah air.

Vokal yang dimiliki wanita bertubuh genit itu masih tetap ‘berbisa’, walaupun sudah bertahun-tahun tidak dilontarkan secara profesional di khalayak ramai.

Ternyata, impian Mila untuk kembali mewarnai industri seni, sudah lama terbuku di dalam hati pemilik nama lengkap Noorsyarmilla Jirin itu, namun terpaksa dipendam bagi memberi laluan pada bidang perniagaan yang diusahakan.

Apabila peluang itu tiba, Mila berasa sangat teruja, lebih-lebih lagi hasrat tersebut turut mendapat restu daripada suami tercinta, Isz Mustapha untuk membenarkannya kembali aktif ke pentas nyanyian.

Alhamdulillah, selepas lapan tahun saya sunyi tanpa lagu baharu, tahun ini saya hadir dengan single Sandera. Sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan dan luar biasa daripada peminat yang telah lama menanti lagu baharu daripada saya

“Semuanya terjadi selepas saya menyanyikan semula lagu Dawai, nyanyian asal penyanyi Indonesia, Fadhilah Intan dan mendapat sambutan luar biasa peminat.

“Ramai yang meminta saya untuk keluarkan lagu baharu. Saya memujuk suami, dia akhirnya izinkan saya untuk kembali aktif dalam bidang seni,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Pada masa sama, Mila yang sebelum ini popular menerusi lagu Persis Mutiara menyifatkan perjalanannya mengeluarkan single Sandera amat mudah dan lancar.

“Bayangkan, saya masuk studio untuk merakamkan lagu pada bulan Februari, sekitar bulan Mac Sandera telah pun dikeluarkan.

Saya mengharapkan lebih ramai lagi memberikan sokongan terhadap Sandera supaya saya dapat keluarkan lagi single-single yang lain dan seterusnya kembali aktif memeriahkan industri seni hiburan tanah air,” kata Mila.

Menyimpan impian besar, Mila sebenarnya teringin untuk menganjurkan sebuah acara makan malam berbentuk showcase untuk peminat kesayangannya. 

“Dengan hadirnya single Sandera ini, sebenarnya saya teringin untuk aktif semula dalam bidang seni dan anjurkan acara makan malam bersama showcase.

“Tapi material tak berapa banyak. Jadi saya kena kumpul dahulu lagu sehingga jadi hits dan boleh bernyanyi bersama-sama peminat.

“Barulah seronok untuk saya anjurkan sebuah persembahan berskala kecil yang dinamakan A Night With Mila Jirin di Bizmillah,” katanya. 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok