Marsha Milan ‘muak’ jadi hantu

HAMPIR dua dekad berkelana dalam industri seni, Marsha Milan sudah mengukuhkan portfolionya dalam arena nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Pelbagai cabang seni diceburi demi bereksperimentasi dengan kemampuan.

Bukan sahaja kredibiliti dalam arena nyanyian diperakui ramai, bahkan jelitawan tinggi lampai itu juga tanpa gagal memaku pandangan khalayak dengan pembawaan watak menerusi filem dan drama.

Barangkali dek penjiwaan emosi dan roh seni yang kuat dalam setiap karakter yang dibawa menyebabkan bintang berusia 39 tahun itu sering disuakan watak seram atau menjadi hantu.

Bukan muak, Marsha bagaimana pun semakin selektif. Mahu karier terus berkembang, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh itu enggan graf lakonan ditakuk sama dengan watak hampir serupa.

“Saya memang selalu disua watak hantu, dahulu memang saya ambil sahaja tapi sekarang lebih selektif kerana tidak mahu orang jemu.

“Sudah 18 tahun saya dalam industri seni, banyak lagi watak belum saya bawa, saya mahu karakter itu benar-benar mencabar keupayaan.

“Sebagai seorang aktres, saya kena cari kepelbagaian dalam lakonan, kalau boleh semua watak kena cuba supaya lakonan berkembang seiring pengalaman,” katanya.

Ditanya apakah sebenarnya watak dikejar seorang Marsha Milan, pelakon filem Rahsia itu mendambakan watak aksi dan epik

“Jujurnya saya idamkan watak aksi. Setakat ini, belum pernah saya bawa karakter penuh pertarungan dan pertempuran, memang teringin mahu cuba.

“Watak dalam karya berunsur biopik juga sangat menarik untuk diterokai, tapi memang jarang saya dapat tawaran sebegitu, mungkin ada yang kurang dalam lakonan saya sehingga belum meyakinkan pengarah.

“Buat masa sekarang, cukup-cukuplah watak hantu atau komedi sebab saya sudah kerap sangat buat.

“Bukanlah terlalu memilih tetapi hanya mahukan kepuasan dalam lakonan,” ujarnya panjang lebar.

Bercerita tentang perkembangan terkini, pelantun lagu Darah mahu fokus terhadap dunia nyanyian.

Semuanya masih lagi di fasa perangkaan, Marsha mengakui akan hadir dengan lagu ter baharu selain dalam proses menyiapkan album kedua.

“Saya memang akan konsisten mengeluarkan lagu khas buat peminat yang tidak jemu-jemu menyokong.

“Syukur kebelakangan ini lagu saya diterima ramai dan berjaya bolos sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Insya-Allah tahun ini saya akan keluarkan album kedua, boleh dikatakan hampir 80 ke 90 peratus sudah siap, tinggal lagi mencantikkan mana yang lompong dan memperbaiki apa yang kurang.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, syukur bakat nyanyian saya makin dihargai dan orang nampak.

“Saya juga dalam perancangan buat konsert, nantikan!,” ujarnya panjang lebar.

Paling penting, anak jati Sabah itu sentiasa berpasak pada niat asal masuk ke industri seni, bukan untuk bergoyang kaki meraih populariti, sebaliknya bekerja keras dan sentiasa bereksperimentasi dengan bakat.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok