Demi masa depan, Kodi Rasheed buka kedai tomyam

SELAMA 10 tahun menceburi bidang seni, pelakon Kodi Rasheed sering membawakan watak antagonis.

Tidak kira sama ada dalam filem mahupun drama, pelakon berusia 34 tahun itu terus-menerus ditawarkan dengan karakter jahat sehingga dibenci penonton.

Kodi atau nama lengkapnya Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed tidak menafikan watak sebegitu (jahat) telah memberikan rezekinya dalam dunia hiburan.

Bagaimanapun, apabila sering disua watak sama, sesekali di mahu keluar daripada kebiasaan dengan membawakan karakter berbeza.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, saya banyak bawa watak jahat. Malah, sekarang pun saya sedang menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Limbungan dan membawakan watak anagonis bernama Ramli,” kata pelakon berkening tebal itu.

Enggan dibayangi watak serupa, Kodi kini semakin selektif dan tidak keberatan untuk menolak tawaran jika watak yang diberikan kepadanya pernah dilakonkan sebelum ini.

Meskipun berat hati terpaksa menolak tawaran yang hadir, perkara itu perlu dilakukannya jika mahu jadi versatil selain percaya dengan rezeki yang telah diatur Allah SWT.

“Bimbang jika asyik bawa watak jahat yang lebih kurang sama, karier saya akan jadi statik. Sekarang, saya kena lebih selektif agar tidak bawa watak serupa atau hampir sama.

“Sayang memanglah sayang kalau tolak tawaran yang hadir tetapi saya percaya dengan rezeki Allah SWT,” katanya.

Justeru, untuk memastikan rezekinya tidak putus, Kodi kini dalam proses untuk membuka kedai makan tidak lama lagi.

Menurut Kodi, kedai makan yang menyajikan masakan tomyam itu, dahulunya merupakan tempat kegemarannya melepak dan menghabiskan masa bersama kawan-kawan.

Bagaimanapun, kedai yang terletak berhampiran dengan rumahnya di Gombak itu ditutup oleh pemiliknya sejak beberapa bulan lalu.

“Selain menjadi pelakon sepenuh masa, saya bakal menceburi bidang perniagaan apabila akan membuka sebuah kedai tomyam tidak lama lagi. Lokasinya tidak jauh dengan kediaman saya di Gombak.

“Ceritanya, dahulu ada sebuah kedai tomyam yang menjadi tempat saya dan rakan-rakan berkumpul. Kedai itu ditutup dan saya kehilangan tempat untuk lepak.

“Jadi, saya beli kedai itu dan akan usahakannya sendiri. Daripada saya merayau sana sini, lebih baik saya beli kedai itu. Insya-Allah sekarang dalam proses ubah suai dan akan dibuka selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Ujar pelakon berkulit hitam manis itu, dengan adanya restoran tersebut sekurang-kurangnya dia dapat mengisi masa jika tidak terbabit dengan penggambaran.

“Kedai makan itu nanti saya sendiri yang akan usahakan. Jadi bila tidak ada penggambaran, bolehlah saya lepak di kedai sendiri. Kawan-kawan saya juga akan membantu.

“Sekurang-kurangnya, ada juga sesuatu untuk dibuat. Sebelum ini, kalau saya tidak berlakon, saya hanya terperap di rumah dan akan banyak berfikir. Saya tidak suka begitu,” jelas pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok