Panas baran Pekin Ibrahim ‘mengecut’ lepas berbini

VERSATIL. Itu istilah tepat untuk menggambarkan kerjaya seni Pekin Ibrahim yang tidak pernah gagal, malah cemerlang sebagai pelakon mahupun pengarah.

Sebagai aktor, keupayaan anak jati Kelantan itu menggalas pelbagai watak tidak dapat disangkalkan lagi dan dibuktikan apabila memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Dari sisi pengarahan pula, liang-liuk alur cerita dan garapan idea pemilik nama penuh Mohd. Iznan Ibrahim itu dapat dilihat menerusi naskhah Mat Moto yang juga pemenang anugerah Cerita Asal Terbaik di festival sama.

Gemerlapan karier seninya tidak pernah malap, malah sentiasa menyinari industri tanah air dengan pelbagai naskhah berkualiti seiring mutu lakonan yang tinggi.

Terkenal dengan peribadi yang  lantang dalam menyuarakan apa  terbuku di hati, Pekin mengakui dirinya dahulu panas baran selain sukar untuk menerima kritikan.

Bagaimanapun, hati keras dirinya berjaya dilembutkan seorang wanita yang  berjaya menemui kunci untuk menenangkan hati agar tidak berterusan dirundung kebengisan.

Tenang selepas berkahwin

Ujar Pekin, berlaku perubahan ketara sebaik dia sah bergelar suami kepada pelakon Mona Allen, malah mula merasakan hidupnya lebih teratur selepas didampingi isteri tersayang.

“Perubahan paling ketara selepas berumah tangga adalah hidup lebih tenang dan santai. Boleh dikatakan kehadiran isteri, Mona Allen memberi seribu satu makna dalam kehidupan saya.

“Saya lebih fokus, fikiran juga makin matang, jika dahulu saya buat kerja hanya fikir diri saya, sekarang kena fikir isteri dan anak.

Apa yang boleh saya katakan, mempunyai isteri dan permata hati sememangnya memberi impak kepada transisi kehidupan seorang lelaki,” ujarnya serius.

Berpegang teguh pada prinsip yang lama terpasak dalam diri, pelakon filem Bunohan itu mengakui dirinya kini lebih terbuka dan menganggap segala kritikan sebagai motivasi memperbaiki diri.

“Saya memang terkenal dengan sifat tegas dan bukan seorang yang romantik bahkan isteri pun mengakui perkara tersebut.

“Saya akui saya memang jenis degil, keras kepala, namun pada masa sama saya terbuka dan tidak mudah melenting.

“Dulu saya memang lantang, saya yakin kebanyakan wartawan juga sedar tentang bisa mulut saya. Namun, masa berubah, saya mula sedar bahawa kritikan dan persoalan orang ramai itu ada sebabnya,” tuturnya panjang lebar.

Berkongsi tentang kelahiran putera sulungnya, Petra Pekin selepas empat tahun penantian, pelakon berusia 42 tahun itu memberitahu, dia mengambil cuti panjang demi meluangkan masa bersama keluarga kecilnya itu.

“Bila sudah bergelar bapa, tanggungjawab sangat besar, jujurnya saya ambil cuti panjang daripada berlakon dan mengarah pada awal kelahiran putera saya.

Saya tunggu lama untuk mendapatkan zuriat, jadi saya mahu lihat anak saya membesar depan mata selama setahun.

“Bila ada anak, perasaan itu jadi lain. Kalau boleh saya nak anak saya ada depan mata saya, nak berikan kasih sayang semaksimum mungkin, syukur Tuhan kurniakan rezeki ini,” katanya sambil mengukir senyuman.

Enggan terlalu larut dalam perihal isteri dan anak, penulis sempat bertanya Pekin perihal kerjaya seni dan pendapatnya mengenai segelintir netizen yang melabelkannya sebagai antara pelakon yang terlalu metode.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! berdekatan kedai-kedai atau layari https://www.kosmo.com.my/

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok