GARA-GARA bertindak tegas menghalau keluar kekasih adiknya, dikenali sebagai Eiza, penyanyi Shila Amzah bersedia dengan sebarang kemungkinan akan kembali ‘diserang’ ahli keluarga sendiri, terutama saudara kandung, Amir Syafiq.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 33, bagaimanapun berkata, kali ini dia sudah nekad dan tidak lagi akan berdiam diri.
Shila turut mendakwa wanita terbabit turut menjadi batu api apabila mencampuri urusan keluarganya selama ini.
“Lillahitaala sahaja sekarang ini (reda apa yang bakal terjadi). Dia bila orang luar pula jadi batu api. Selama ini Sha (panggilannya) diamkan sahaja.
“Dia ingat Sha lembik,” tulisnya.
Dalam hantaran berbeza, pelantun Memori Tercipta itu mendedahkan, walaupun tiada pertalian dengan wanita tersebut, namun setiap masalah membabitkan keluarga, wanita itu akan ada, termasuk mencampuri urusan perceraian ibu bapanya baru-baru ini.
“Semua masalah keluarga dia ada. Saya tidak kisah jika dia baik. Tapi sehinggakan masalah perceraian ibu bapa saya baru-baru ini menunjukkan sebaliknya (perangai sebenar),” katanya.
Semalam, Shila sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila menggesa kekasih adiknya itu supaya keluar daripada banglo miliknya di Hulu Langat, Selangor pada hari ini (Jumaat).
Shila menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang sekirannya wanita terbabit gagal berbuat demikian (pindah keluar).
Menurut Shila, Eiza sudah berpindah dan menetap di rumahnya sejak tahun 2021 sehingga hari ini walaupun tidak mempunyai sebarang ikatan keluarga dengannya. – HIBGLAM