Neon Music Festival 2023 pentas unggul DJ berkarya

LAUTAN manusia yang memenuhi Surf Beach, Sunway Lagoon hujung minggu lalu membuktikan Neon Music Festival 2023 ditunggu-tunggu penggemar muzik berlangsung sukses.

Pilihan acara mega yang menyatukan muzik, makanan dan seni di tapak festival berkonsepkan pantai buatan menggandakan lagi kemeriahan.

Selepas lima tahun menghilang, Neon Music Festival 2023 anjuran HiFive Entertainment yang mempertaruhkan barisan DJ terkenal dalam dan luar negara ternyata memenuhi kepuasan khalayak.

Penonton melompat menikmati megahnya bunyi muzik seiring terangnya lampu neon.

Sebagai antara penganjur acara terkemuka di rantau ini, HiFive begitu komited menyatukan komuniti melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Jelas terlihat kepelbagaian eklektik muzik tempatan dan antarabangsa, merangkumi pelbagai genre demi memenuhi pelbagai cita rasa pencinta muzik tanah air.

Festival mega anjuran HiFive Entertainment oleh SAP Traders Sdn Bhd mengiktiraf kepentingan untuk berhubung semula dengan masyarakat dan meraikan ‘kuasa’ muzik seiring kreativiti.

Sejujurnya, penulis terkedu. Ketukan dan paluan bunyi iringan muzik profesional barisan DJ antarabangsa yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat muzik bergenre EDM, Techno dan Trance serasi dengan muzik masa kini. Agak bingit, namun puas.

‘Headliner’ antarabangsa

Fokus utama penonton tertumpu pada headliner (penghibur utama) antarabangsa yang didatangkan khas untuk memuaskan nafsu muzik pencinta nuansa goyang kepala.

Meskipun rata-rata penonton daripada anak-anak muda tetapi barisan pemuzik yang diundang benar-benar memberi kepuasan maksimum kepada semua lingkungan usia.

Bayangkan, sejurus DJ Ben Nicky melangkahkan sahaja kaki menguasai pentas, gelanggang festival bergema dengan sorakan peminat yang barangkali sudah lama menantikan persembahan secara langsung idola mereka.

Mana tidaknya, Ben Nicky merupakan DJ yang menuai perhatian ramai apabila mendapat pujian nama-nama besar muzik EDM dan techno seperti Diplo dan Armin van Buuren.

Malah karyanya yang dirakam semula berjudul We Come 1 meraih lebih 1 bilion tontonan seluruh dunia selain cemerlang dengan 20 karya hits nombor satu dalam pelbagai genre.

PENONTON tanpa henti dihiburkan persembahan muzik goyang kepala menerusi kehebatan tiga DJ tersohor dunia, Ben Nicky, Timmy Trumpet dan Wukong.

Tidak memberi ruang untuk penonton berehat walau sejenak, adrenalin pengunjung kembali mencanak naik dengan persembahan bertenaga DJ tersohor asal Australia, Timmy Trumpet yang mempersembahkan karya agung gabungan muzik EDM dan Jaz.

Kredibiliti dan aura DJ tampan itu sememangnya menonjol, bukan hanya gadis, barangkali peringkat usia ibu-ibu juga bagaikan kerasukan melihat kelincahan Timmy mengendalikan instrumennya.

Timmy yang popular menerusi single Freaks menerima pelbagai anugerah emas, platinum dan kini merupakan DJ nombor lapan di dunia, maka tidak hairanlah dia begitu mahir menghiburkan penonton dengan karyanya.

Usai beraksi, Timmy berdiri teguh mengibarkan bendera Malaysia barangkali sebagai tanda menghormati lautan manusia yang hadir rata-ratanya berstatus warganegara Malaysia.

Kehangatan konsert diteruskan lagi dengan headliner seterusnya yang merupakan anak kelahiran Singapura, DJ Wukong.

Sedikit hairan kerana jika Timmy disambut teriakan wanita, Wukong lain pula ceritanya. Kehadirannya disorak riuh-rendah penonton lelaki bagaikan sedang meraikan kemenangan bola sepak.

Barangkali gaya Wukong yang begitu cool dan swag menjadi pendorong kepada kaum lelaki untuk meminatinya selain memiliki wajah jambu persis artis K-Pop.

KEMUNCULAN DJ Wukong dari Kota Singa disambut  sorakan meriah penonton lelaki.

Wukong yang juga DJ ‘papan atas’ di Asia Tenggara tidak kurang bisanya. Taringnya sama tajam dengan DJ sebelumnya. Bukan sahaja pintar menghasilkan rentak muzik yang mendegupkan malah lincah mengawal audiens dengan gerakan bersahaja menyapa peminat.

Tidak dilupakan penampilan sampingan penghibur tempatan yang memeriahkan acara seperti Chukiess & Whackboi, Boris Foong, DJ’s Playground, Saixse dan juga SonaOne.

Ironinya, muzik mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan anggota masyarakat dan memberikan rasa kegembiraan dan hubungan.

Neon Music Festival 2023 boleh dikatakan sebagai acara terbaik yang menyatukan semua, sebagai festival kehidupan, kepelbagaian dan kreativiti yang sangat diperlukan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok