‘Terharu, Hawra dan panggil saya ayah’

“MOMEN itu yang mahal saya rasa macam ‘Ya Allah, aku nak hidup ini untuk kau’.”

Demikian perkongsian pelakon Kamal Adli apabila berpeluang meluangkan masa berkualiti bersama anak tunggal kesayangannya, Hawra Uqaira.

Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, menyifatkan permata hatinya itu kini berada di fasa yang sangat menghiburkan selain sudah mula pandai memanggil dirinya dengan panggilan ‘ayah’.

“Dua hari lepas saya bawa Hawra pergi Aquaria. Saya pernah bawa dia pergi ke tempat itu tetapi ketika itu dia masih bayi.

“Dia tak tahu pun dia tengok apa masa itu. Tapi kali ini dia dah dua tahun dan kenal ikan.

“Hawra sekarang alhamdulillah okey dan dalam fasa umur paling seronok sebab dia dah panggil saya ayah,” katanya semasa sidang media Melodi Terhangat, semalam.

Dalam masa sama, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu menceritakan beberapa momen bersama anaknya yang sangat berharga.

“Bila kita jalan di pusat membeli-belah, dia akan hulur tangan dan akan pegang jari saya untuk berjalan.

“Siapa yang pernah ada bayi, tahu bila anak nak dekat dengan kita. Bila nak balik dia menangis sebab tahu kena balik dah.

“Benda itu semua macam susah nak dapatlah,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Kamal akur dengan situasi yang membataskan dirinya untuk membawa anak perempuan tunggalnya itu bermalam bersama-sama buat masa ini.

“Sekarang ini tempoh tak ada peluang lagi untuk nak tidur dengan Hawra sebab dia masih kecil.

“Saya faham benda itu tapi walaupun jarang dapat jumpa dia masih kenal dan panggil saya. Itu buat saya sangat terharu,” ujarnya.

Untuk rekod, Hawra yang dilahirkan pada 27 April 2024 di sebuah pusat perubatan di ibu negara merupakan satu-satunya zuriat Kamal hasil perkahwinannya dengan pelakon Uqasha Senrose.

Pasangan itu bercerai talak satu pada 12 Januari lalu selepas lebih empat tahun mendirikan rumah tangga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok