“RAMAI artis yang hubungi saya minta duit, cuma saya tak dedahkan siapa mereka”.
Itu pengakuan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri apabila ditanya tentang dakwaan netizen kononnya dia menangguk di air yang keruh apabila sering berkolaborasi bersama artis ditimpa kesusahan atau kontroversi.
Menurut Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 39 dia tidak ambil pusing kata-kata netizen yang menuduhnya sengaja mengambil kesempatan terhadap artis-artis viral.
“Tiada istilah menangguk atau tidak menangguk di air yang keruh. Kalau bukan saya yang menangguk mungkin ada orang lain yang menangguk. Cuma saya yang terawal.
Setiap kolaborasi kita bersama artis adalah atas persetujuan artis itu sendiri. Sebab itu kalau orang kata menangguk di air yang keruh, dua-dua pun menangguk.
“Sebagai seorang usahawan, semestinya saya akan pilih orang yang sedang ‘famous’. Siapa yang tengah ‘in’ saya ambil. Cuma sekarang ini orang suka tengok artis yang baru lepas cerai, kena pukul, keluar penjara. Inilah realiti,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya lagi, selain menjual bakat, golongan selebriti juga menambah sumber pendapatan dengan melakukan ‘review’ produk dalam media sosial.
“Ini salah satu sumber pendapatan mereka. Jadi kalian tak boleh kata saya menangguk di air yang keruh. Sebelum nak menangguk, kami dah bincang tentang ‘mas kahwin’,” jelasnya.
Sering diminta membantu orang kebanyakan yang dilanda kesusahan, kata Aliff dia tidak pernah mengetepikan golongan itu cuma tidak mendapat perhatian ramai.
Mereka suruh saya membantu orang ramai, mereka perlu ingat saya ni bukan wakil rakyat atau menteri. Siang malam saya berniaga sampai mata bengkak. Bila jual murah pun mereka minta harga murah lagi,” ujarnya
Biarpun dikecam netizen, masih ada yang memuji tindakannya membantu selebriti yang dilanda kesempitan hidup. Malah, dia dikatakan lebih pantas bertindak berbanding persatuan yang menjaga kebajikan anak seni.
Saya sendiri merupakan ahli persatuan kerana saya juga penggiat seni. Sebenarnya bukan persatuan tidak membantu tapi kita yang tak perasan.
“Mungkin yang menghulurkan bantuan itu kurang popular. Saya pula dikenali ramai. Sebenarnya mereka membantu, cuma tidak diuar-uarkan.
“Kalau orang tengok jumlah yang saya beri itu tinggi, sebenarnya bukanlah duit saya 100 peratus. Itu adalah duit daripada pusat zakat yang saya zakatkan menerusi perniagaan saya selain duit orang ramai yang membeli produk saya,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Aliff baru sahaja melancarkan kempen Jualan Mega Terlajak Raya Aidiladha yang menawarkan hadiah bernilai RM300,000 termasuk wang tunai, pakej umrah dan percutian. – HIBGLAM
