Sekarang fesyen saya ikut tempat, tengok majlis – Aina Abdul

Ampuh mengukir nama dalam industri muzik tanah air,  nama Aina Abdul tidak lagi perlukan pengenalan panjang.

Mendakap kejayaan menerusi pelbagai julangan anugerah, kerjaya wanita bertubuh genit itu sememangnya terus mekar mewangi.

Pernah sendu pada awal kemunculan sekitar 2014, strategi dipasang melalui fesyen avant-garde untuk dikenali membuahkan hasil sekali gus meletakkan kedudukannya sebagai penyanyi ‘papan atas’.

Kendatipun, hakikat hidup artis bagai di bawah mikroskop netizen, fesyen eksentrik itu mudah mengundang hamburan kata nista orang ramai meski khalayak sendiri sedar bakat seni Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani melebihi segalanya.

Mega tapi manis

Terus hidup persis tajuk lagunya, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu berpegang kepada prinsip tak hidup dek puji tak mati dek keji. Dia menerima segala teguran dengan hati yang terbuka.

Bagaimanapun, Aina mengakui setiap kata-kata negatif yang disua kadangkala meninggalkan impak bukan kepadanya, namun insan terdekat terutama ibu tercinta.

Enggan hati siapapun terluka, pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu mengambil jalan tengah dengan tampil berbusana manis dipandang tetapi pada masa sama tetap punya signatur tersendiri.

“Saya kuat tapi sejujurnya saya sudah penat dengan kecaman netizen, kata nista dihambur tidak memakan saya tetapi memberi kesan kepada ibu saya.

“Jadi saya cakap dengan stylist supaya kurangkan sikit yang pelik-pelik, sebaliknya tampil cantik sahaja.

“Sekarang fesyen saya adalah berdasarkan tempat dan jenis majlis, maksudnya pakaian saya tetap dalam konteks avant-garde tetapi lebih bersederhana.

“Fesyen adalah identiti Aina Abdul, saya akan tetap tampil mega tetapi manis dan enak dipandang supaya peminat makin senang dan sayang barangkali sedikit sebanyak dapat memuaskan hati semua pihak,” tuturnya panjang lebar. 

Paling utama katanya, walau berdepan cemuhan, perkara tersebut tidak langsung menjadi batu penghalang untuk terus menyajikan peminat dengan karya  berkualiti.

Membiarkan perihal fesyen bernoktah di situ sahaja, Aina beralih pula kepada topik hala tuju dan matlamatnya dalam industri.

AINA ABDUL

Mengakui dirinya sukar dipuaskan, penghibur berusia 29 tahun itu tekun merangka karier agar segala keinginan sebagai penghibur sejati tercapai, selain tidak luntur memudar dalam industri hanya selepas memenangi beberapa anugerah.

“Jujurnya, susah untuk memuaskan hati saya, banyak perkara yang mahu saya capai, peluang tidak datang berkali-kali, ketika saya diberi peluang dan masih dipandang, saya akan cuba berikan yang terbaik.

“Selagi ada kudrat, selagi diterima, saya akan bekerja keras untuk buat banyak lagu sekali gus menerbitkan banyak album serta menganjurkan banyak lagi konsert pada masa hadapan.

“Jauh lagi perjalanan saya, banyak yang perlu saya tempuhi, namun apa yang pasti, saya datang dalam industri bukan untuk main-main. Saya mahu berkarya, enggan terlalu selesa hanya disebabkan  sudah meraih beberapa trofi,” jelasnya.

Menyanyi lagu sendiri

Ditanya adakah pemenang Anugerah Penyanyi Popular Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu memang memilih untuk tidak menyanyikan lagu komposer lain, dia tersenyum seraya berkata, dirinya lebih gemar berkolaborasi seperti menulis lirik berbanding hanya menyanyi.

“Saya suka nyanyi sesebuah lagu kalau karya tersebut ada air tangan dan olahan saya sendiri, maksudnya suntikan rasa Aina Abdul itu perlu ada.

“Saya bukan tak mahu nyanyi lagu komposer lain cuma apa yang datang kepada saya sekarang ini agak tidak kena dengan jiwa dan hati saya.

“Saya jenis ‘jiwa kacau’ maka cenderung kepada lagu yang mempunyai komposisi berat seiring dengan lirik mendalam, jadi lebih senang kalau saya buat sendiri tetapi saya tetap terbuka berkolaborasi dengan pencipta lain,” ujarnya

Bakal melancarkan album sulung menjelang Oktober nanti, lebih 10 buah lagu dimuatkan yang mengetengahkan pelbagai genre dan terdapat kolaborasi serta olahan komposer lain.

Menyentuh mengenai lagu, Aina sempat berkongsi antara lagu dalam album sulungnya yang bakal dilancarkan Oktober hadapan juga hasil paduan idea bersama komposer dan penulis lirik lain.

Malah album tersebut bakal dimuatkan lebih daripada 10 lagu dengan mengetengahkan pelbagai genre selain balada berat meruntun jiwa.

“Saya sekarang sedang bertapa di rumah menyiapkan karya untuk album sulung saya dan kali ini ada kolaborasi dengan komposer dan penulis lirik lain juga.

“Ada lebih 10 lagu pelbagai genre, apa yang boleh saya katakan, ini adalah karya paling jujur daripada saya, semuanya dicipta dengan penuh rasa, emosi dan keikhlasan.

“Dengan siapnya album ini harapnya akan menangkis komen negatif yang menyatakan saya buat konsert hanya nyanyi lagu saduran. Jadi selepas ini saya boleh nyanyi lagu sendiri,” tegasnya.

Enggan berlebihan larut dalam perihal fesyen aneh dan album, penulis sempat mengusik penyanyi bersuara lantang itu mengenai soal cinta yang dikatakan kini dalam fasa bahagia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok