PELKON Azar Azmi akhirnya membuka mulut menceritakan pengalaman pahit yang pernah meragut ketenangan hidupnya sehingga terpaksa berdepan detik hitam ditahan pihak polis.
Meskipun sudah kembali ke pangkuan keluarga, Azar atau nama lengkapnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, mengakui masih ada segelintir pihak tidak puas hati dan mempertikaikan kebebasannya.
Orang akan cakap ‘kau ini cakap saja’. Saya telah direman, disoal siasat dan saya ikut segala prosedur, tiada yang terkecuali.
“Saya di sini pun ada individu-individu yang tak puas hati macam mana boleh keluar dan terlepas.
“Entahlah, mungkin kesilapan saya sebab terlalu percaya dekat orang,” katanya dalam temu bual bersama Melodi.
Mengimbas semula detik hitam ketika dalam tahanan, pelakon drama Nur itu mengakui detik tersebut tidak pernah terlintas di fikirannya.
Dia hanya mampu memanjatkan doa agar keselamatan anak-anaknya sentiasa terjaga.
Gambar terpampang macam itu, tangan dah ada ‘gelang’. Itu paling teruk dalam kehidupan saya. Tak pernah terbayang dan terfikir satu hari saya ke situ.
“Saya tiada sesiapa, tak ada tempat bercakap dan mengadu. Cuma ada dinding dan jeriji. Boleh cakap dengan siapa saja?.
Saya berdoa tolong lindungi darah daging (anak) sebab saya tak boleh buat apa dekat dalam.
“Saya cukup menjaga nama keluarga dan sampai tahap saya berada di level yang…,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kehidupan berumah tangga, Azar tanpa berselindung mengakui wujud rasa iri hati melihat kebahagiaan orang lain memandangkan impiannya mahu memiliki keluarga utuh hingga akhir hayat.
“Saya tak tahu (rasa dilindungi dalam perkahwinan), tapi nak bandingkan dengan pasangan lain, saya cemburu.
Saya lebih kepada menjaga anak-anak, sebab itu saya bertahan.
“Saya mengimpikan keluarga yang tak nak gagal (bahagia). Biarlah sampai mati tapi saya pun tak sangka benda jadi macam ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Azar bersama suami, Mohd. Apri Hazreen ditahan atas pertuduhan menipu dua mangsa atas urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan melibatkan kerugian keseluruhan RM293,931 pada tahun lalu.
Azar kemudiannya dibebaskan pihak polis dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan kedua-dua kes. – HIBGLAM
