‘Rindu Mamat Khalid, saya hilang semangat berlakon’

LIMA tahun berlalu, pemergian sutradara prolifik, Allahyarham Mamat Khalid membuatkan penyanyi dan pelakon, Datuk Awie lebih selesa menumpukan perhatian terhadap arena muzik.

Bukan enggan membintangi filem produksi lain, namun keakraban serta selesa beraksi dengan pengarah berpengalaman itu seolah-olah menipiskan rasa teruja untuk turun ke set penggambaran.

Tidak hairan selepas pemergian Mamat, Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 57, hanya muncul di layar lebar hasil terbitan syarikat sendiri iaitu Sue-On serta Rebel yang ditayangkan di pawagam pada 2023 dan 2024.

“Ikutkan saya memang rindukan lakonan. Itu juga ‘makanan’ saya tapi selepas arwah Mamat tiada, saya hilang semangat.

Saya juga rindukan arwah, rindu tunjuk ajarnya, rindu celoteh ‘style’ bapa-bapanya, rindu ada di setnya. Jadi beberapa tahun kebelakangan ini saya cuma fokus filem Rumah Produksi Merah,” katanya.

Menurut vokalis kumpulan rock Wings itu, komitmen terhadap siri konsert jelajah termasuk di Singapura juga antara kekangan memenuhi tawaran daripada produser filem lain.

“Sebenarnya ada penerbit tawarkan saya watak dan naratif filemnya pun bagus, tetapi ketika itu saya terikat dengan komitmen lain.

“Bukan rezeki kami untuk bekerjasama, mungkin selepas ini ada peluang dan ruang lain. Saya bukan tutup pintu terus, cuma bukan dalam tempoh terdekat.

“Lagipun sebelum ini saya terbabit dalam konsert solo serta Wings. Kena buat persediaan rapi kerana konsert berturut-turut. Kalau saya tinggalkan studio dan pergi ke set, susah untuk bina semula momentum,” katanya.

Bercerita lagi mengenai Allahyarham Mamat, katanya beberapa filem terbitan Enjit Semut Productions termasuk Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah meninggalkan impak besar kepada dirinya.

Serlahkan humor

Akui Awie, dia berjaya menyerlahkan sisi humornya di bawah arahan Mamat sehingga watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah terus menjadi trademark walaupun hampir sedekad naskhah itu dihasilkan.

Mamat sudah tiada, namun sentuhan emasnya dalam industri perfileman tempatan terus ‘hidup’, bukan saja Hantu Kak Limah atau Husin bahkan dereten naskhah lain seperti Rock Oo! serta banyak lagi,” ungkapnya.

Terdahulu, Allahyarham Mamat menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 58 tahun di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober 2021.

Beralih perihal rutin hariannya pada Ramadan ini, Awie berkata selain memperbanyakkan ibadah, dia dan Wings akan merakamkan dua album baharu.

Menurut Awie, selepas selesai proses rakaman di Malaysia, Wings bakal terbang ke luar negara termasuk Bali, Indonesia dan Australia selepas Syawal untuk merekodkan beberapa lagu.

“Kadang-kadang kita perlukan ketenangan. Saya pernah rakam album di hotel, bukan di studio kerana mahukan suasana yang santai dan relaks.

Selepas menyempurnakan beberapa konsert, sampai masa kami fokus kepada penghasilan album pula. Bukan satu tetapi dua khas buat peminat setia Wings.

“Mungkin selepas Syawal nanti kami akan ke Bali dan Australia untuk merakamkan beberapa lagu selepas selesai rekod lagu di sini,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok