INDUSTRI hiburan Korea Selatan bukan hanya medan populariti dan glamor, malah menjadi pentas menyuarakan prinsip serta keberanian.
Dalam dunia penuh tekanan patriarki, beberapa pelakon wanita tampil sebagai suara perubahan, mempertahan maruah serta hak kaum hawa.
Di sebalik wajah manis dan aura bintang, tersimpan keberanian luar biasa. Ada mempertahan mangsa keganasan, tidak kurang membela maruah wanita melalui karya seni, malah deretan sanggup berdepan kecaman demi prinsip.
Sokongan terhadap hak wanita bukan tugas mudah, setiap langkah sering disertai kritikan, salah faham dan serangan siber namun, keberanian mereka membuktikan populariti boleh menjadi alat perjuangan.
Kimchi Panas minggu ini menampil lima figura wanita terkenal Korea menggunakan nama serta pengaruh demi memperjuangkan suara kaum sendiri.
Lee Hyori

Lee Hyori pernah menerima pengiktirafan daripada organisasi hak wanita Korea Women’s Link melalui anugerah Pureun Media Language Award pada 11 Disember 2014.
Penganugerahan diberikan atas beberapa sebab utama yang menunjukkan keberaniannya dalam membincangkan isu-isu sensitif dan tabu.
Idola berusia 46 tahun itu dipilih kerana keberaniannya membincangkan topik yang sukar dan sensitif seperti keganasan rumah tangga serta isu diskriminasi rupa paras (lookism) yang sangat menebal dalam masyarakat Korea.
Organisasi tersebut memuji Hyori kerana menggunakan bahasa yang mudah difahami, jujur dan matang semasa mengendalikan program bual bicara Magic Eye pada 2014, sehingga penonton mudah merasai hubung kait dengan isu yang dibincangkan.
Selain isu wanita, pelantun lagu 10 Minutes itu juga merupakan aktivis tegar untuk hak asasi haiwan, menyokong mangsa hamba seks era penjajahan serta aktif dalam kempen bantuan untuk pekerja yang ditindas melalui kempen Yellow Envelope.
Dia dianggap sebagai contoh ‘Celebrity Activism’ di Korea Selatan kerana berjaya menggunakan pengaruh besarnya sebagai bintang K-pop untuk menarik perhatian umum terhadap isu sosio-politik yang sering diabaikan.
Uhm Jung-hwa

Jung-hwa sering menzahirkan kebanggaan terhadap watak wanita kuat dalam deretan karya lakonannya seperti Dancing Queen dan Singles
Dalam kedua-dua naskhah tersebut, dia menonjolkan transisi wanita daripada ‘pemerhati’ kepada ‘peneraju’ hidup sendiri.
Anak seni tinggi lampai itu menggunakan platform seninya untuk mencabar persepsi masyarakat terhadap wanita melalui watak-watak yang ikonik.
Bagi aktres berusia 56 tahun itu, membawakan watak dan kisah yang mengangkat wanita berani sangat membawa inspirasi kepada masyarakat.
Dalam sebuah temu bual, dia juga mengakui melihat perubahan positif apabila semakin ramai wanita lebih berani dan bebas menentukan jalan hidup sendiri.
Jung Yu-mi

Yu-mi menerima kecaman hebat selepas membintangi filem Kim Ji-young, Born 1982, karya menyentuh diskriminasi gender dialami wanita Korea biasa.
Wataknya menggambarkan tekanan mengimbangi kerjaya, keluarga serta stereotaip masyarakat terhadap wanita.
Walaupun filem tersebut menuai kontroversi, wanita berusia 43 tahun itu tetap mempertahankan kepentingan cerita itu disampaikan.
Keputusan berani memilih peranan sensitif menjadikannya simbol perjuangan wanita moden Korea.
Bae Suzy

Bekas idola K-Pop juga pelakon terkenal, Bae Suzy pernah lantang mempertahan mangsa gangguan seksual.
Pada 2018, wanita berusia 31 tahun itu menyebarkan petisyen menuntut tindakan terhadap pelaku.
Tindakan tersebut mencetus perdebatan hangat, namun bintang drama While You Were Sleeping itu tetap berdiri teguh dengan pendiriannya.
Bekas ahli kumpulan Miss A itu menegaskan penglibatannya bukan semata-mata kerana feminisme, tetapi atas dasar kemanusiaan untuk menyokong keberanian seorang wanita mendedahkan kebenaran.
Pengaruh besar dalam media sosial dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan moral kepada mangsa.
Keberanian itu mengukuhkan imejnya bukan semata-mata ikon kecantikan tetapi juga simbol empati dan keadilan.
Kim Yoo-jung

Pucuk muda berusia 26 tahun ini memang dikenali sebagai artis yang sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan termasuk memperjuangkan mangsa kekejaman tentera Jepun (wanita hamba seks) semasa era penjajahan.
Pada tahun 2018, bintang filem 20th Century Girl itu secara terbuka menyokong kempen tersebut untuk membantu wanita yang dipaksa menjadi hamba seks oleh tentera Jepun.
Wanita jelita itu juga pernah memuat naik foto dompet kad dengan sulaman rama-rama kuning yang merupakan simbol global bagi sokongan terhadap ‘comfort women’ sebagai tanda harapan agar mereka bebas daripada trauma masa lalu.
Tidak hanya itu, dia turut berkongsi pesanan yang menyentuh hati tentang keberanian hamba seks perang (kini sudah bergelar nenek) dalam mendedahkan kebenaran selepas 50 tahun dalam penderitaan. – HIBGLAM
