MENCETUSKAN fenomena sehingga ke Indonesia tahun lalu menerusi drama Bidaah, Rumah Karya Citra dengan kerjasama platform penstriman Viu kembali dengan sekuel lebih berani dengan siri berjudul Walid.
Bagi kesinambungan drama rantaian berkisar ajaran sesat dan penunggang agama itu, penerbitnya Erma Fatima menggunakan nama watak utama sebagai judul berikutan kekuatan impak karakter lakonan Faizal Hussein itu.
“Saya perasan sebelum ini orang kurang menyebut nama Bidaah, sebaliknya lebih menumpukan kepada watak Walid yang sarat warna.
Jadi kami ambil keputusan untuk memperluaskan lagi penceritaan kepada penonton yang sudah mengenali watak ini berikutan kesan dramatik ditonjolkan.
“Ini kerana Walid menjadi fokus perbualan peminat drama ini biarpun pada masa sama perwatakannya menjadi cemuhan ramai,” katanya selepas tayangan dan pelancaran drama bersiri itu baru-baru ini.
Menurut Erma lagi, penerbitan Walid turut membuka matanya terhadap realiti yang berlaku dalam masyarakat, khususnya berkaitan ajaran sesat yang sering berselindung di sebalik imej agama.
Dalam proses ini, banyak perkara yang pada mulanya kita tidak sedar sebenarnya berlaku dalam negara malah sejak Bidaah mencetuskan fenomena, saya seolah-olah menjadi ‘pencari’ ajaran sesat.
“Ini kerana menerima terlalu banyak maklumat mengenai kesesatan yang berlaku di Malaysia. Ada yang menghubungi saya melalui mesej peribadi, termasuk mangsa sendiri tampil berkongsi pengalaman. Sebahagian kisah inilah yang saya selitkan dalam Walid,” ujarnya.

ERMA mewujudkan watak baharu membabitkan seorang lagi guru ajaran sesat sekali gus menjadi ‘lawan’ kepada Walid.
Mengulas cabaran menghasilkan sekuel kepada naskhah yang mendapat sambutan luar biasa itu, Erma mengakui tekanan memang wujud, namun cabaran menjadi pemangkin untuk menghasilkan karya lebih segar.
Ada tekanan kerana musim pertama mendapat sambutan luar biasa dan kami perlu mencari bentuk kesesatan yang berbeza untuk diketengahkan dalam Walid.
“Banyak isi tidak boleh diulang, jadi saya mengumpulkan pelbagai fakta baharu berkaitan ajaran sesat yang wujud di seluruh Nusantara untuk disesuaikan dalam naskhah ini,” katanya.
Elak klise
Bagi pelakon juga pemilik Rumah Karya Cipta itu, hal dibongkar bukan sekadar hiburan, sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej dan kesedaran kepada masyarakat.
“Saya melihat ini sebagai satu tanggungjawab untuk menyampaikan mesej. Saya cuba mengelak daripada klise penceritaan seperti isu penyondol yang sering diulang.
Saya akui tema ini disukai penonton, tetapi saya mahu tampil dengan plot berbeza sekali gus mahu menjadi pencetus trend, bukan sekadar mengikut arus.
“Banyak kisah lain yang lebih menarik untuk diketengahkan cuma ia berbalik kepada matlamat saya adalah untuk membuktikan insan seni juga mampu berdakwah dengan pendekatan kreatif,” ulasnya.
Bagi pengisian Walid, Faizal Hussein kembali menggalas watak utama bergandingan dengan karakter baharu iaitu Aqasha sebagai Habiburrahman serta Datuk Tamimi Siregar sebagai Ustaz Fateh.
Selain Marisa Yasmin sebagai Ummi Hafizah dan Vanidah Imran (Ummi Rabiatul), pihak produksi turut mengundang artis Indonesia, Olla Ramlan sebagai Raras Kartika.
Walid mengisahkan bekas pemimpin ajaran sesat Jihad Ummah yang meloloskan diri daripada ditangkap sebelum bersembunyi di kawasan pergunungan bagi membina semula pengaruhnya.
Usahanya menemukan sekutu dalam diri Habiburrahman, seorang pendakwah berkarisma yang menyimpan agenda gelap bertukar menjadi pertarungan senyap apabila kedua-duanya bersaing bagi menguasai kepercayaan dan kuasa.
Dalam konflik itu, bekas isteri Walid, Ummi Hafizah, berjuang mengembalikan iman kepada pengikut, manakala Ustaz Fateh, bekas mentor Walid dari Kaherah pula pulang membawa misi menyelamatkan anak muridnya daripada terus hanyut dalam kesesatan.
Diarahkan Pali Yahya, siri 12 episod ini bakal menemui penonton secara eksklusif menerusi Viu Original bermula 26 Februari ini. – HIBGLAM
