PERNAH dihalau dari rumah gara-gara menyatakan hasrat ingin menjadi pelakon, aktor veteran Harun Hashim, 70, mengakui segala pengorbanan masa mudanya berbaloi walaupun terpaksa menumpang tidur di kaki lima Stesen Bas Klang selama tiga hari.
Kini, ketika kudrat tidak lagi sekuat dahulu dengan ‘bersarangnya’ pelbagai penyakit, termasuk tiga serangkai selain mata kiri tidak lagi berfungsi, anak jati Kapar, Selangor itu tetap kuat semangat menggagahkan tulang empat kerat memenuhi tawaran lakonan.
Katanya, selagi Allah berikan nafas serta tenaga untuk mencari rezeki, dia tidak akan menolak undangan untuk beraksi kerana seni sudah menjadi sebahagian hidupnya.
“Saya masih larat berlakon, terbaharu saya membintangi drama lapan episod arahan Pali Yahya berjudul Luka dalam Rindu dan bakal berlakon lagi dengan pengarah sama untuk projek akan datang.
Kiranya boleh sahaja saya ke set. Bagusnya produksi ambil dan hantar saya sepanjang tiga minggu penggambaran berlangsung. Mata saya sebelah dah tak nampak, jadi lama tak memandu,” katanya ketika ditemui , baru-baru ini.
Santai menunggang motosikal kapcai, jika tidak terikat jadual kerja, akuinya aktiviti harian adalah berulang ke pusara arwah isterinya, Sakinah Ganjali yang meninggal dunia ketika usia 48 tahun pada 11 November 2024.
Terlanjur menyebut nama teman hidupnya, Harun terdiam secara tiba-tiba. Daripada nada teruja berkongsi perihal kerja, suaranya tersekat-sekat bercerita kebaikan Allahyarham.
Rindukan arwah
Nyata biar lebih setahun berlalu, rindu yang memberat terhadap nadi hidupnya sangat menebal apatah arwah sentiasa di sisi ketika dia berada pada titik terendah dalam hidup.
“Semuanya takdir. Selepas bertahun-tahun menduda saya memang tidak terfikir untuk berkahwin lagi sehinggalah terjumpa semula balu kepada rakan saya.
“Dipendekkan cerita kami disatukan dan sejak itu dialah kawan baik saya. Kesetiaannya diuji ketika awal perkahwinan kami apabila saya mengalami sakit saraf bahagian kaki yang teruk sampai terbaring saja.
“Baru bergelar isteri, tidak bekerja dan terpaksa pula jaga suami sakit, bukan calang-calang wanita mampu bertahan.
Dua tahun saya terlantar, isteri jaga tanpa jemu, angkat ke bilik air serta cucikan najis. Moga syurga tempatnya,” ujarnya perlahan.
Menjelang kehadiran Ramadan yang berbaki beberapa hari saja lagi, imbaunya, arwah isteri merupakan individu paling sibuk membuat persediaan.
“Sejujurnya, sepanjang hampir sedekad bersama, saya rindukan segala-galanya tentang dia. Dia jenis tak banyak bercakap, tapi melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dengan sempurna.
“Dia pandai masak bahkan sejak kami kahwin banyak kali kita usahakan perniagaan makanan, cuma tiada rezeki. Fasa paling teruk adalah kami kutip tin dan botol kosong bagi menampung kehidupan.
“Waktu Covid-19 menyerang kami juga tak terkecuali terkesan, tapi alhamdulillah tidak pernah kami tak makan sepanjang tempoh sulit itu. Ada sahaja lauk dalam pinggan walau hanya telur goreng. Isteri saya sangat hebat,” ujarnya lagi.

DIHALAU dari rumah dengan pekerjaan pertama sebagai pembasuh pinggan, kemudian menjadi pembantu tukang jahit yang kerap menerima tempahan baju-baju penari dan artis budaya, Harun akhirnya berpeluang berjumpa ramai anak seni besar, seterusnya dia turut menjadi antara pelakon hebat sehingga kini.
Korek tong sampah
Atas nama ‘cinta mati’, Harun sanggup mencari rumah sewa berhampiran tanah perkuburan agar dapat kerap menziarahi pusara insan kesayangannya itu setiap hari.
“Saya reda dan sudah ‘move on’, cuma rindu ini terus menyala. Dapat bacakan Yasin di pusara cukup untuk ubati kesunyian. Kadangkala pernah tiga kali sehari saya ke kubur.
“Pada usia ini tiada apa yang saya harapkan kecuali mendapat keredaan Allah. Kita tak tahu selama mana kita dapat bertahan, tunggu saja masa untuk menemui Ilahi,” kongsinya dengan mata berkaca.
Enggan berlama-lama melayan syahdu, Harun kembali bernostalgia tentang zaman remaja yang sanggup bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran mamak di Klang demi sesuap nasi dan tempat berteduh.
Berbekalkan duit RM18 bekalan si ibu, Harun yang dihalau bapa kandung sendiri nekad tidak pulang ke rumah kerana mahu membuktikan cita-cita menjadi pelakon dapat direalisasikan.
Selepas tiga hari tidur di kerusi batu dengan perut beralas empulur nanas sisa buangan peniaga yang dikutip dalam tong sampah, saya minta kerja di restoran mamak.
“Dapatlah makan percuma dan lelapkan mata di bawah meja makan selepas kedai ditutup.
“Lama juga saya cuci pinggan sebelum panjangkan langkah ke Kuala Lumpur selepas diajak seorang tukang jahit kerja dengannya di Puchong.
“Saya belajar sembat kain. Bos saya juga buat baju untuk penari kebudayaan. Jadi dapatlah saya jumpa ramai anak seni hebat, ada (arwah) Datuk Hail Amir dan ramai lagi.
“Peluang itu saya gunakan untuk sertai latihan asas berlakon. Guru saya Datuk Ahmad Tarmimi Serigar. Tegas.
“Dari situ saya aktif teater tetapi masih tak berduit sebab kena bayar yuran. Kalau lapar sangat saya teguk air paip sampai kenyang,” katanya.
Langkah menjadi dramatis terbuka luas selepas penerbit RTM, Abdullah Zainol menonton latihannya sebelum menawarkan berlakon dalam drama Damak yang turut dibintangi Ahmad Yatim.
“Dari situlah saya meraih satu persatu tawaran sehingga wajah kerap masuk surat khabar.
“Selepas itu saya mula balik kampung, tapi walaupun bapa langsung tidak puji, saya tahu dia bangga kerana di kedai kopi dia cerita pasal drama saya. Itu sudah cukup mengharukan,” tuturnya.
Mengakui selesa tinggal di kawasan kampung di Jeram, Harun berterima kasih terhadap masyarakat setempat serta ketua kampung yang menerima kehadirannya dengan hati terbuka.
“Saya bukan orang kampung ini, cuma terus menyewa di sini sebaik orang rumah saya dikebumikan. Syukur saya diterima dan mungkin di sinilah hari terakhir saya sebelum menutup mata.
“Memang anak minta saya tinggal dengan mereka. Saya tak mahu susahkan sesiapa, mereka pun ada kehidupan sendiri. Tak mengapalah,” ujar bapa kepada enam anak itu menutup bicara.

Harun kini menyewa kediaman berdekatan tanah perkuburan agar sentiasa dekat dan mudah untuk melawat pusara arwah isterinya yang pergi dulu mengadap Ilahi.
