TIGA hari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, ibu kota mula berselimut rona merah, emas dan deretan gantungan tanglung berwarna benderang.
Bagi orang Cina, ini bukan sekadar perayaan, sebaliknya lambang penyusunan semula hidup, menutup helaian lama dan membuka ruang untuk nasib serta azam baharu.
Mengikut kalendar lunar, 2026 menyaksikan kemunculan Tahun Kuda khususnya bawah elemen Kuda Api.
Membawa simbolik kepantasan, keberanian, semangat juang dan daya tahan tinggi, namun di sebalik kelajuan, Kuda Api turut menuntut ketekunan, kesabaran dan disiplin untuk mengawal api agar tidak membakar diri sendiri.
Bertemu empat mata dengan pelawak versatil Douglas Lim untuk edisi Tahun Baharu Cina, penulis tertarik dengan falsafah hidupnya, melangkah ke hadapan tanpa menoleh terlalu lama ke belakang.
Sekuat larian kuda, itulah kadar kelajuan Douglas yang menyifatkan Tahun Baharu Cina sebagai simbolik permulaan titik nasib serta kehidupan baharu.
“Perayaan ini melambangkan peluang baharu. Segala pencapaian tahun lepas, letak tepi. Berjaya atau tidak, kita cuba lagi tahun ini. Itulah maksud sebenar permulaan.
“Memandangkan tahun ini merupakan Tahun Kuda dalam zodiak Cina, khususnya Kuda Api, sudah tentu akan ada cabaran. Kita kena berusaha dan kerja keras. Tak boleh harap nasib semata-mata.
“Saya ambil semangat kuda yang pantas dan gagah, tetap mara walau apa pun keadaan supaya terus maju dan berjaya,” katanya kepada HibGlam.
Meskipun berketurunan Cina dan beragama Kristian, penghibur serba boleh itu percaya Tahun Baharu Cina lebih bersifat budaya berbanding ritual keagamaan.

Douglas menyifatkan Tahun Baharu Cina sebagai simbolik permulaan titik nasib serta kehidupan baharu.
“Perayaan ini lebih kepada budaya. Ramai salah faham, ingat raya Cina hanya untuk penganut Buddha, padahal tidak. Saya bukan Buddha dan sejak kecil keluarga tetap menyambutnya.
Perayaan ini ada ciri-ciri tersendiri, bukan ritual agama. Perkara pertama yang saya ingat ialah malam sebelum Tahun Baharu Cina. Kalau perayaan jatuh hari Selasa, makan besar malam Isnin. Paling penting, malam itu wajib hadir. Selagi belum mati, kena datang.
“Keluarga saya tinggal di Melaka. Jadi dari kecil, setiap Tahun Baharu Cina memang wajib balik Melaka. Kami akan tinggal beberapa hari di sana. Itu antara ciri utama perayaan ini. Selain itu, ada amalan beri angpau dan kunjung-mengunjung. Semua ini tak ada kaitan dengan ritual agama, tetapi budaya,” ujarnya.
Lagu raya
Dalam rancak berbicara, senyum lelaki berusia 48 tahun itu sedikit pudar apabila mengakui sambutan Tahun Baharu Cina tidak lagi sama seperti dahulu.
“Daripada pemerhatian saya, dahulu ramai pakai baju tradisional. Satu keluarga keluar dengan busana tradisi. Sekarang ada juga tapi tak semeriah dulu, tak macam Hari Raya Aidilfitri.
Kalau tengok Hari Raya Puasa, pergi ke pusat beli-belah pun nampak satu keluarga lengkap berbaju sedondon. Tapi untuk raya Cina, perkara itu makin jarang.
“Perkara kedua tentulah angpau. Sekarang dah ada angpau QR. Itu bagus, saya rasa. Tapi tak sama macam dahulu. Dahulu angpau tak boleh buka depan orang. Tak beradab. Kena simpan, lepas habis Tahun Baharu Cina baru buka dan kira,” dedahnya.
Dalam berseloroh, Douglas memberitahu, tidak menghasilkan lagu perayaan untuk 2026.
“Tahun ini memang tak ada masa. Tahun lepas saya buat lagu raya sebab saja-saja nak cuba. Saya ajak beberapa kawan buat lagu. Mereka korbankan masa untuk layan kerenah saya. Tahun ini maaflah, kena dengar balik lagu lama.
“Sekarang saya ada dua lagu raya Cina, satu dalam bahasa Melayu berjudul Oh Mak I Dah CNY dan dalam bahasa Inggeris, The Worst Chinese New Year Song. Bolehlah dengar dulu. Harap tahun depan ada masa, mungkin ada penaja,” katanya seraya ketawa.
Bercakap soal transisi pantang larang yang sering dianggap konyol, Douglas melihat perubahan itu sebagai sebahagian daripada evolusi budaya seiring gaya hidup moden dan teknologi.
“Ada beberapa pantang larang. Hari pertama Tahun Baharu Cina tak boleh sapu rumah. Kononnya nanti sapu keluar tuah. Jadi kena elakkan tapi sekarang ada vakum. Jadi saya tak sapu, saya vakum.
“Dahulu sambut Dewa Kekayaan guna mercun warna merah. Sekarang orang guna audio MP3 saja. Bagi saya tak salah.
“Kalau duduk apartment, macam mana nak bakar mercun? Itu cuma teknologi yang mengubah cara kita buat benda sama.
“Juadah yee sang pun sama. Dahulu bahan lebih kurang lapan atau 10 saja. Sekarang dah macam-macam boleh ditambah,” kongsinya.
Bedah realiti sosial
Gemar membedah realiti sosial melalui jenaka, penulis bertanya pandangan sejauh mana komedi berfungsi sebagai kritikan budaya tanpa kelihatan biadab atau rasis.
“Komedi bergantung kepada niat. Kalau niat untuk menyindir secara baik, guna komedi itu boleh. Tapi kalau niat untuk menghina atau menjatuhkan orang, tak boleh berlindung di sebalik alasan ‘saya bergurau’.
“Itu bukan gurauan, itu sinis. Tapi kalau niat baik, komedi boleh digunakan untuk apa sahaja termasuk perayaan.

DOUGLAS mengakui cara sambutan Tahun Baharu Cina tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri, misalnya tak ramai berbaju tradisional atau sedondon.
“Saya ada lawak fasal tarian singa. Saya selalu kata, kenapa dalam tarian boleh buat, singa sebenar tak boleh buat? Saya tak pernah tengok singa panjat tiang. Bagi saya itu bukan rasis. Kalau niat hanya untuk menghiburkan, tak ada masalah,” tegasnya.
Bintang filem My Parents’ Midlife Crisis itu turut menyentuh perbezaan pendekatan humor antara kaum, satu pemerhatian yang lahir daripada pengalaman bertahun-tahun menghibur masyarakat berbilang bangsa.
Saya perasan orang Melayu kurang suka lawak keras. Walaupun orang itu bersalah, mereka lebih suka pendekatan lembut, berlapik.
“Dalam budaya Cina, walaupun kita marah, kita tetap bagi orang itu tangga untuk turun. Jangan tolak sampai jatuh. Sediakan jalan supaya dia boleh turun dengan maruah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Douglas berkongsi perancangan mengadakan siri jelajah komedi berskala antarabangsa.
“Show berjudul Vital Stats akan bermula Mac nanti. Saya akan mulakan jelajah di Australia, bermula di Perth, diikuti Sydney, Brisbane, Auckland di New Zealand dan Melbourne.
“Selepas itu, saya sambung di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Setakat ini, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dalam perancangan. Buat kali pertama juga, saya nak buat persembahan di Melaka, Kuantan dan Ipoh.
“Selepas itu, saya harap boleh ke negara jiran seperti Jakarta. Tak ketinggalan Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Sasaran saya tahun ini, kalau ada rezeki, nak ke UK. Tengok keadaan. Kalau nilai ringgit masih okey, kita jalan,” tuturnya.
Selain pentas komedi, Douglas turut aktif dalam dunia lakonan.
“Sekarang saya ada penggambaran tetapi belum boleh kongsi. Ada juga projek baharu, mungkin filem.
Saya juga bakal muncul dalam satu siri tempatan yang memang diminati sejak dulu. Saya selalu cakap dengan orang, saya suka siri itu. Tak sangka akhirnya dapat peluang sertai tahun ini,” tutupnya.
