IDahlia jadi ‘port’ artis veteran, Zur Eda serikan Ramadan

USAHAWAN Dahlia Aliruddin meluahkan rasa syukur apabila penyanyi Zur Eda sudi membuat persembahan khas sepanjang Ramadan di restorannya, IDahlia, sekali gus memeriahkan suasana berbuka puasa buat pengunjung.

Menurut Dahlia, restorannya sejak sekian lama menjadi lokasi pilihan ramai artis senior untuk menjamu selera selain berfungsi sebagai ruang santai bertemu rakan-rakan seperjuangan tanpa tekanan dunia seni.

“Saya memang gembira bila tengok artis-artis, terutama artis veteran, selesa datang lepak dan makan di sini. Suasana sini santai, jadi mereka bebas datang tanpa rasa terikat.

“Antara yang kerap singgah termasuk Rahmat Mega, Sheila Majid, Datin Intan Najwa, Zur Eda, Zaiton Sameon serta kumpulan Max Five. Tempat ini memang jadi lokasi pertemuan mereka,” katanya.

Tambah Dahlia, sokongan terhadap rakan artis dilakukan setakat termampu sama ada dengan menyediakan ruang berkumpul atau peluang membuat persembahan kecil.

“Saya bantu sekadar mampu. Ada masa mereka datang buat persembahan, ada masa sekadar lepak dan makan. Saya gembira dapat tolong sedikit,” ujarnya.

Persembahan eksklusif sepanjang Ramadan oleh Zur Eda bersama BerTiga Band atau Mas 5 Band akan dilaksanakana dua hingga tiga kali seminggu, bergantung kesesuaian masa berbuka.

Persembahan tersebut menampilkan lagu-lagu kerohanian, tradisional serta irama retro bagi mencipta suasana berbuka lebih tenang dan bermakna.

Bersyukur diberikan peluang, Zur Eda berkata ruang itu dimanfaatkan untuk mendekati peminat dalam suasana santai sambil mengeratkan silaturahim.

“Saya bersama BerTiga Band akan menyampaikan lagu kerohanian, tradisional serta lagu nostalgia termasuk karya lama saya yang masih diingati.

“Inilah peluang untuk saya beramah mesra dan merapatkan hubungan dengan pengunjung I-Dahlia Corner,” jelasnya.

Untuk rekod, selepas PKP, Dahlia memperkenalkan konsep Buffet Ramadan bermula tahun 2022 dengan idea dulang warisan serta masakan kampung, sesuatu jarang ditemui di tengah ibu kota.

Dengan harga RM70 bagi satu set dulang, Dahlia menegaskan niat utama bukan hanya mengejar keuntungan, sebaliknya mahu berkongsi rezeki dan bersedekah sepanjang Ramadan.

“Insya-Allah berbaloi. Konsep RM70 ini bukan untuk untung besar. Niat kami bersedekah di bulan Ramadan sambil beramal dan dapat sedikit keuntungan. Asalkan tidak rugi, itu sudah memadai.

“Satu set dulang RM70 boleh dimakan dua hingga tiga orang atau lebih. Lauk-pauk pula berkonsepkan masakan kampung. Di tengah Kuala Lumpur, memang susah nak cari makanan kampung, jadi saya perkenalkan konsep ini,” tutupnya. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok