‘Tidak sedar diri sudah mati ketakutan paling besar’

SEPERTI genre drama dan air mata, genre seram juga tidak pernah hilang dari radar penerbitan naskhah kreatif sama ada telefilem, siri atau filem tanah air.

Cuba keluar daripada acuan biasa dan mencabar persepsi penonton tentang hidup, mati serta kewujudan roh, naskhah Flat Simpang Satu yang kini dalam pembikinan bukan mahu menakutkan, namun mengajak khalayak berfikir, menyelami sisi gelap kehidupan manusia dari sudut paling jarang dipaparkan.

Dalam landskap hiburan tempatan yang sering bermain dengan formula sama, supertelemovie berkenaan tampil memecah kebiasaan.

Karya terbitan Dream At Work Sdn. Bhd., tersebut mengangkat elemen seram psikologi dengan pendekatan tidak konvensional, menyajikan penceritaan dari sudut pandang roh, bukan manusia.

MENURUT Razlan, karya garapannya, Flat Simpang Satu mengangkat subjek kehidupan komuniti flat B40. – FAUZI BAHARUDIN

Menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Datuk Aaron Aziz, Aiman Hakim Redza, Nadiya Nissa dan Fahrin Ahmad, naskhah eksklusif Unifi TV arahan Datuk M. Razlan Ismail, memilih untuk memposisikan ‘hantu’ bukan semata-mata alat kejutan, sebaliknya watak utama dengan emosi, kesedaran dan konflik tersendiri.

Menurutnya, pendekatan tersebut jarang diketengahkan kerana memerlukan ketelitian tinggi dalam penceritaan serta pengolahan visual yang halus dan berlapik.

“Kebiasaannya cerita seram meletakkan hantu sebagai objek menakutkan. Kali ini kami ceritakan dari sudut pandang hantu itu sendiri, bagaimana dia melihat dunia dan mengenali entiti lain.

Untuk menghasilkan cerita yang baik, perkara baik perlu dikongsi dengan penonton. Sebab itu barisan pelakon mesti kuat dan sesuai dengan naskhah.

“Kami pilih sendiri pelakon. Alhamdulillah, barisan ini sangat serasi. Naskhah yang kuat perlu disokong pelakon tepat, bukan sekadar nama besar,” katanya kepada HibGlam.

MENAMPILKAN nama besar seperti Fahrin Ahmad, Aiman Hakim Redza dan Aaron Aziz, Flat Simpang Satu bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Paling penting katanya, dari sudut teknikal, karya terbabit menuntut disiplin tinggi malah setiap pergerakan kamera, posisi pelakon dan kesinambungan babak dirancang rapi agar tidak mengganggu emosi penonton.

“Setiap babak dirancang dengan teliti. Kamera, pergerakan dan kesinambungan visual mesti konsisten supaya penceritaan kekal hidup.

Ini kisah tentang ketakutan paling besar, apabila seseorang tidak sedar bahawa dirinya sebenarnya sudah mati,” ujarnya.

Di sebalik elemen seram, naskhah ini mengupas realiti kehidupan komuniti B40 yang menghuni Flat Simpang Satu, bergelut dengan tekanan ekonomi, konflik sosial serta perasaan saling curiga antara penduduk.

Kisah menjadi semakin misteri apabila tiga penghuni flat berdepan kejadian aneh, dengan hanya mereka bertiga mengetahui rahsia sebenar di sebalik gangguan tersebut.

Plot berkembang lebih mencengkam apabila ketiga-tiga watak pulang ke rumah dan mendapati seluruh kawasan flat kosong, sunyi serta ditinggalkan tanpa penghuni.

Gangguan lembaga misteri menyebabkan mereka terperangkap, seolah-olah terpenjara di antara dua alam.

Lebih berlapis, Flat Simpang Satu turut menyentuh isu wabak berpunca daripada penggunaan susu import murah tercemar, satu-satunya pilihan mampu milik penduduk setempat.

DENGAN pemilihan pelakon, plot dan teks tepat, telefilem ini dijangka mencengkam emosi penonton.

Wabak itu merebak pantas sehingga kawasan diasingkan dan penduduk dipindahkan, mencerminkan realiti pahit golongan marhaen.

“Tekanan hidup dan beban ekonomi sebenarnya lebih menekan berbanding wabak itu sendiri. Ini refleksi pengalaman ramai ketika PKP dan pandemik Covid-19.

Selalunya manusia takutkan hantu. Kali ini, hantu pula memerhati manusia,” jelas Razlan.

Pendekatan sebegitu menjadikan penceritaan lebih beremosi, simbolik serta menyentuh sisi kemanusiaan, bukan sekadar bergantung terhadap elemen kejutan.

Dengan gabungan seram psikologi, realiti sosial dan penceritaan berlapis, Flat Simpang Satu bakal ditayangkan menjelang Aidilfitri nanti malah dijangka tampil sebagai sebuah supertelemovie berani, relevan dan meninggalkan kesan mendalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok