ADAKALANYA, ukuran kejayaan sesebuah persembahan tidak terletak pada gemerlapan lampu atau gah sistem bunyi semata-mata, sebaliknya keupayaan karya menyentuh jiwa, menggerakkan emosi serta meninggalkan kesan berpanjangan.
Dalam gelombang hiburan moden, nasyid sering dipinggirkan, namun Inteam membuktikan tanggapan tersebut sekadar mitos lapuk.
Lebih 9,000 penonton membanjiri stadium, sanggup berhabis wang ringgit demi santapan rohani malah kehadiran sebegitu menjadi bukti nyata bahawa muzik berteraskan dakwah masih punya daya tarikan kuat, selain terus subur dalam hati khalayak pelbagai generasi.
Lebih dua dekad bertapak, Inteam bukan hanya membina nama, tetapi membentuk sebuah institusi harmoni dalam landskap nasyid kontemporari tempatan.
Daripada karya awal hingga lagu terkini, Inteam tekal menganyam muzik dakwah bersama naratif cinta, persahabatan serta pengorbanan.
Pendidikan jiwa bersulam hiburan, tanpa terjerumus ke wilayah klise. Keutuhan falsafah itu diterjemahkan sepenuhnya di pentas menerusi persembahan bertenaga kuartet Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman, Hisyam Ahmad dan Hazamin Harun.
Vokal harmoni mereka kekal teguh, nyaring dan berlapis, menolak tanggapan bahawa perjalanan panjang bakal mencalar stamina aset penting itu.
Tepat pukul 9 malam, tirai dibuka dengan lagu Dia Muhammad, disusuli Kasih Kekasih dan Siti Khadijah. Dentuman muzik berpadu visual pentas berwarna-warni mencetuskan aura penuh semangat, mengikat perhatian audiens sejak minit pertama Inteam beraksi.
Sebanyak 25 lagu didendangkan dengan susunan rapi, ibarat sebuah penceritaan indah bermula daripada keindahan ukhuwah, beralih ke renungan iman, sebelum memuncak dengan isu kemanusiaan sejagat.

INTEAM menggayakan busana hijau berhias manik putih simbolik bendera Palestin untuk segmen Medley Kemanusiaan dengan mengalunkan lagu Iman Aman, Al-Quds Lana dan Bebas Palestin.
Kekuatan konsert berkenaan tidak semata-mata terletak pada nyanyian tetapi pada cara Inteam berinteraksi dengan penonton.
Ribuan ‘lightstick’ berwarna-warni menyala serentak, mencipta suasana syahdu dan meriah dalam satu hela nafas.
Penulis menyifatkan momen itu sebagai pertembungan jiwa antara pentas dan audiens tiada jarak, tanpa sekatan.
Rentak rancak diteruskan menerusi Ya Rabbi Ya dan Tiada Tarikh Tamat sebelum suasana berubah menjadi lebih intim apabila kek dibawa naik ke pentas bagi meraikan hari lahir Hisyam Ahmad.
Detik spontan tersebut disambut sorakan hangat penonton, menzahirkan keakraban Inteam bersama peminat setia.
Alunan lagu Bisikan Nurani dan Rabiatul Adawiyah kemudian menyusul, diikuti medley Kasihku Abadi, Kalimah Cinta dan Surat Cinta yang menggoncang rasa.
Keberanian Inteam meneroka wilayah luar jangkaan terserlah apabila mereka mengalunkan Flying Without Wings, lagu ikonik Westlife. Tafsiran baharu itu kedengaran jujur, tidak cuba meniru, sebaliknya meminjam roh asal lalu diadun dengan acuan melodi tersendiri.
Sorakan kembali memuncak apabila Zizi Kirana tampil sebagai artis jemputan mendendangkan Wassini dan Perang Dah Tamat. Kehadirannya memberi warna segar, namun tidak menenggelamkan identiti utama konsert.
Emosi penonton kemudian direntap apabila skrin memaparkan rakaman suara Hind Rajab di Gaza. Ruang arena seakan-akan terhenti, diselubungi keheningan sarat duka.
Dalam suasana sebak itu, Inteam kembali ke pentas menyanyikan We Will Not Go Down, lagu protes nukilan Michael Heart sebagai solidariti terhadap Palestin.
Mereka tampil mengenakan busana hijau berhias manik putih simbolik bendera Palestin sebelum melantunkan segmen Medley Kemanusiaan dengan lagu Iman Aman, Al-Quds Lana dan Bebas Palestin.
Konsert diteruskan dengan alunan Az-Ziarah dan Pemergianmu, sebelum Medley Taubat bergema dengan dendangan Tuhan Yang Esa, Damba Kasih, Sutera Kasih dan Impian Kasih.
Apa yang mengagumkan, stamina vokal setiap anggota langsung tidak luntur meskipun lagu demi lagu mendaki nada tinggi. Lontaran suara kekal mantap, seolah-olah waktu tidak pernah menyentuh mereka.

ANTARA momen paling dinanti, gandingan hebat sifu muzik Malaysia, M. Nasir dan Inteam menerusi lagu Perjalanan 2 yang meraih pujian ribuan penonton yang memenuhi ruangan Axiata Arena.
Segmen duet menambah nilai eksklusif apabila Nazrey Johan daripada kumpulan Raihan muncul menyanyikan lagu Kehidupan diikuti Puji-Pujian.
Inteam kemudian kembali menguasai pentas menerusi Allahu Rabbi, Ratu Syahadah dan Satukan Kami Di Syurga.
Kemeriahan diselang-seli pengumuman pemenang cabutan bertuah melibatkan hadiah skuter, telefon pintar, baucar haji bernilai RM5,000 untuk 10 penerima serta pakej umrah penuh kepada enam individu.
Segmen istimewa menyaksikan kolaborasi bersama sifu muzik Datuk M. Nasir menerusi lagu Perjalanan 2.
Kehadiran figura legenda itu menambah wibawa konsert, disusuli sumbangan bersama Inteam dan Icon Entertainment berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia. Duet diteruskan dengan Bonda dan Dia, mencipta detik penuh sentimental.
Pada segmen terakhir, Inteam menyanyikan Setanggi Syurga sebelum menutup tirai dengan Nur Kasih.
Gelanggang konsert bergema dengan nyanyian audiens, seakan-akan enggan membiarkan malam penuh barakah itu berakhir.
Sungguh, persembahan ini hampir tiada cacat cela. Bunyiannya gah, cahaya dramatik memukau, busana serasi dan kualiti vokal terpelihara dari awal hingga akhir. Sorakan penonton bukti irama nasyid masih relevan dan kekal gemilang di persada muzik tanah air. – HIBGLAM
