PERJALANAN mencari hidayah pada usia muda bukanlah satu fasa mudah untuk dilalui penyanyi Indonesia, Farel Prayoga.
Meskipun namanya meledak di seluruh Nusantara selepas persembahan memukau di hadapan Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini, tidak ramai yang tahu tentang transisi spiritual dilaluinya secara peribadi.
Mengambil keputusan besar memeluk Islam pada 2023 ketika berusia 12 tahun, Farel mengakui fasa awal bergelar mualaf menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi.
Bakal menyambut kehadiran bulan mulia tidak lama lagi, Farel berkongsi rasa terujanya menempuh cabaran rukun Islam ketiga itu dengan lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu.
HIBGLAM: Apa persediaan awak untuk menyambut Ramadan kali ini selepas dua tahun bergelar mualaf?
FAREL: Saya memeluk Islam pada 2023, jadi ini merupakan tahun ketiga saya berpuasa. Alhamdulillah, saya sudah boleh menyesuaikan diri. Awal dulu agak sukar untuk bertahan (puasa) tetapi sekarang semakin okey.
Pernah tak curi-curi makan sepanjang berpuasa memandangkan baru nak membiasakan diri?
Setakat ini belum pernah lagi curi-curi makan. Kalau rasa tidak kuat, tak mampu bertahan lagi, saya akan beritahu pengurus saya. Harapnya tahun ini saya dapat berpuasa penuh. ‘Belum pernah curi-curi makan, harap tahun ini dapat puasa penuh’
Anda baru sahaja melancarkan lagu berkonsepkan Islamik, Hambamu. Boleh kongsi perjalanan dari awal sehinggalah terhasilnya karya ini.
Lagu Hambamu sebenarnya tidak disengajakan. Sewaktu menjayakan projek Lemak Manis bersama Indigital, terlintas di hati nak ada lagu berunsur kerohanian. Lagu ini dicipta oleh Ippo Hafiz dan saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan dia.
Ippo dikenali di Malaysia malah dia pernah menghasilkan lagu buat idola saya, Datuk Seri Siti Nurhaliza bertajuk Bidadari Syurga. Selepas ini saya berharap ada peluang berkolaborasi dengan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza satu hari nanti.
Apa makna di sebalik lagu Hambamu?
Bagi saya, lagu ini tentang jangan cepat mengalah, doakan orang yang kita sayang. Misalnya, ibu bapa yang sedang sakit. Kita berdoa kepada Yang Maha Besar agar mereka diberikan kesembuhan.
Apa harapan anda terhadap lagu baharu ini?
Sebenarnya ini bukan lagu Islamik pertama, di bawah label saya di Indonesia sudah ada beberapa lagu sebegini. Namun di sini, ya ini yang pertama.
Besar harapan, lagu ini dapat diterima baik semua peminat saya di Malaysia dan sangat sesuai diperdengarkan sepanjang bulan Ramadan. – HIBGLAM
