‘Walaupun hati terguris, saya maafkan Lan Pet Pet’

PELAKON Nur Fazura menyambut baik permohonan maaf yang dibuat pelawak Lan Pet Pet yang bergurau secara tidak senonoh dengannya dalam sebuah acara di Johor Baharu baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin,43, memilih segera untuk memaafkan rakan sekerjanya itu.

“Assalamualaikum saudara Lan. Susuli permohonan maaf secara terbuka oleh saudara Lan, Faz memilih untuk segera memaafkan sepertimana segera suadara Lan memohon maaf atas kekhilafan anda.

“Ini kerana walaupun hati pernah terguris, keinginan mencapai reda Allah SWT adalah lebih utama.

“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran dan teladan buat kita semua. Mudah-mudahan. Seikhlasnya,” tulisnya.

Menjengah ruangan komen, ramai netizen memuji pelakon filem Pisau Cukur itu yang lembut hati memaafkan Lan.

“Kamu mempunyai hati dan jiwa yang indah. Memaafkan adalah perkara terbaik dan terindah yang Allah suka. Semoga Allah sentiasa mudahkan urusan Faz dan Fatima. Sentiasa menyukai sikap positif anda,” komen netizen.

Terdahulu Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 57, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Fazura dan peminatnya diatas ketelanjurannya bergurau sewaktu melakukan sesi ‘live’ bersama aktres itu semalam.

Dalam sesi ‘live’ itu, Lan meminta agar netizen memberi waktu kepada Fazura yang baru dua tahun bercerai.

Namun penggunaan perkataan seperti kering dan ketat mengundang kecaman netizen kerana dianggap keterlaluan dan tidak menghormati Fazura sebagai wanita berstatus ibu tunggal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok