MENGENALI pelakon Along Eyzendy sejak zaman Akademi Seni Kebangsaan (ASK), pengarah teater dan bekas wartawan, Amirul Haswendy Ashari menyifatkan Allahyarham sebagai insan positif yang sentiasa menggembirakan orang sekeliling.
Amirul berkata, walaupun berdepan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, beliau tidak pernah menunjukkan sisi lemah, bahkan sentiasa bersemangat dalam melaksanakan sebarang tugas.
“Along seorang yang kuat semangat, malah tidak menunjukkan tanda beliau sakit kerana baru minggu lepas beliau mempromosikan makanan pek paru jualannya.
“Sebelum ini pun kalau dia kurang sihat tidak pernah dia tunjukkan depan orang keadaannya. Kita cuma nampak Along Eyzendy yang kuat serta macam tiada apa-apa berlaku.
“Kami dah kenal lama, sejak ASK (kini Aswara) lagi dan selepas saya jadi wartawan hiburan persahabatan kami makin rapat. Kali terakhir kami bekerja sama adalah sekitar tiga tahun lalu menerusi Dang Anum. Along idola saya di arena teater. Banyak ilmu dikongsikan saya dan ramai penggiat seni lain.
“Ikutkan tahun depan saya merancang mementaskan sebuah teater dan mahu mengundang Along lagi tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Ditanya sama ada Allahyarham ada meluahkan perasaan berkaitan dunia hiburan, katanya Along cuma berkongsi mengenai satu tawaran filem yang dibatalkan pihak produksi pada saat akhir.
Menurut Pengerusi Persatuan Seni dan Budaya Redholah itu, Along teruja bakal beraksi dalam naskhah di layar perak dengan membuat persiapan tetapi kemudian namanya digugurkan pada saat akhir.
“Beberapa bulan lalu beliau beritahu ditawarkan watak untuk sebuah filem selepas sekian lama tak muncul di pawagam. Alih-alih namanya tiada ketika projek bakal dimulakan, tentu rasa kecewa.
“Walaupun terkilan, Allahyarham tak tunjuk depan orang, beliau enggan orang sekeliling susah hati selain tetap yakin rezekinya akan tiba nanti,” ujarnya.
Pada pukul 12.16 tengah malam tadi, Along menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas tiga hari bertarung nyawa akibat pendarahan dalam perut.
Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 30 Januari lalu selepas demam dan batuk berpanjangan sebelum doktor mengesyaki stent di saluran hempedu dijangkiti kuman.
Meninggalkan seorang balu dan tiga anak, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Johor pukul 9.30 pagi tadi. – HIBGLAM
