DILIHAT hidup bebas tanpa banyak kongkongan, siapa sangka penyanyi meningkat naik Auddra sebenarnya hidup dalam kawalan ketat ibunya, Sharifdah Shahirah.
Berperwatakan gila-gila dan sempoi, Auddra atau lebih dikenali sebagai Oddah mengakui ibunya, Sharifdah Shahirah merupakan individu yang tegas dalam mendidik anak- anak sekali gus bertentangan dengan imej yang sering dipaparkan kepada umum.
Menurut Odah, 17, meski diberi kebebasan, kehidupan dan pergaulan dengan rakan-rakan sentiasa dipantau oleh ibunya termasuk dilarang untuk mematikan telefon bimbit agar mudah dihubungi bila-bila masa.
“Kebebasan itu memang ada, tapi mak saya ada sisi yang orang luar tak tahu. Dia memang selalu cari dan kerap telefon selain melarang saya ‘off’ telefon. Boleh pergi mana-mana, asalkan telefon jangan ‘off’.
“Kalau saya tak jawab panggilan, saya sendiri jadi gemuruh dan walaupun saya ada kat rumah, mama akan tetap ‘call’,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran program Ramadan Astro 2026 di sini, baru-baru ini.
Tidak cukup dengan itu, dia turut mendedahkan kediamannya turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan ibu bapanya memantau pergerakan dan individu yang keluar masuk di rumahnya.
“Mama juga turut memantau menerusi rakaman CCTV di setiap penjuru rumah. Walaupun dia keluar bekerja, dia tetap boleh pantau kami adik-beradik melalui CCTV.
“Pernah juga kami lepak di dapur, bila saya nak cakap sesuatu, tiba-tiba mak bersuara melalui CCTV suruh saya diam.
“Mama boleh tahu siapa datang ke rumah, kasut siapa di luar, walaupun dia tiada di rumah ketika itu. Kadang-kadang saya sendiri rasa seram tapi itu cara dia jaga saya,” kongsinya.
Dia bagaimanapun tetap menghargai setiap perkara yang dilakukan ibunya dalam memastikan keselamatan dan pergaulannya sentiasa terjaga terutama dirinya yang masih di bawah umur.
“Nampak macam dikongkong tetapi saya tak kisah pun dikawal sampai begitu sekali sebab saya tahu mama cuma risaukan saya.
“Dia sentiasa ada dengan saya. Kalau suatu hari nanti dia tiada, pasti saya akan rindu suaranya yang selalu memantau itu,” tuturnya.
Sementara, Sharifah Shahirah mengakui pendekatan untuk sentiasa mengawasi anak-anaknya kerana bimbang terjebak dalam gejala negatif.
Namun, dia tetap berpada-pada dalam mendidik kerana enggan anak-anaknya memberontak mahukan kebebasan.
“Cuma saya risau kalau cara saya itu memberi kesan kepada Oddah, lebih-lebih lagi zaman sekarang macam-macam isu kita dengar melibatkan remaja depresi dan kemurungan.
“Kadang-kadang saya membebel juga, tapi semuanya ikut situasi,” jelasnya.
Dalam pada tu, dia juga sempat memberitahu tidak memasang kunci pada pintu bilik Oddah bagi memudahkannya memantau sebarang aktiviti dilakukan anaknya itu.
“Bilik dia saya tak benarkan kunci. Ada pintu, tapi tak ada kunci. Bila-bila pun saya boleh tolak saja.
“Dia kata bila nak buat kunci, saya jawab, tak akan buat sebab dia buat bilik macam tempat lepak.
“Jadi, kau ingat aku ada masa ke nak fikir dakwaan laki aku tak kerja? Aku banyak kerja lagi nak fikir. Walaupun anak-anak lepak di rumah, tetap pantau mereka dengan CCTV,” katanya lagi. – HIBGLAM
