KEIKHLASAN membantu dituduh sebagai menunggang isu, pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz kekal dengan prinsip menolong mana-mana individu tanpa mengharapkan sebarang publisiti.
Katanya, dia tidak punya agenda tersembunyi di sebalik setiap bentuk bantuan yang dihulurkan seperti didakwa pihak tertentu, sama ada kepada selebriti mahupun individu lain.
“Saya membantu kerana saya mampu. Bukan kerana nama, status atau apa timbal balik sesuatu daripada sesiapa pun yang saya mahu tolong.
“Berhubung kes melibatkan pelakon Puteri Balqis yang saya maklumkan di platform Threads baru-baru ini, memang saya sedia menanggung sepenuhnya kos guaman andai tindakan saman benar-benar berlaku.
“Seperti saya tegaskan, orang yang banyak terluka selalunya berani bersuara kerana lama berdiam. Dari apa lihat, Puteri Balqis adalah anak yang baik.
“Apabila melibatkan maruah dan kebenaran, perkara itu wajar dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ibu kepada dua anak itu lagi, dia perlu tampil bagi menjelaskan salah faham sekali gus menghentikan tuduhan liar yang masih bertebaran.
Selain Puteri Balqis, katanya dia juga pernah membantu bekas suami penyanyi Adira, Datuk Red melunaskan tunggakan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkan beliau menunaikan umrah.
“Saya tidak memilih lingkaran pergaulan berdasarkan nama besar. Saya selesa dengan hubungan yang jujur dan tidak bersyarat,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pempengaruh dikenali sebagai Jalil Razak turut mendedahkan Nur Nilam antara individu yang mencari pelakon, Allahyarham Nadia Kesuma di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada Januari lalu.
Menurut Jalil yang berada di tempat kejadian, pencarian tersebut dilakukan atas permintaan usahawan terbabit Nur Nilam sebaik sahaja Nadia dilaporkan hilang dengan peruntukan kos mencecah belasan ribu ringgit.
“Beliau tidak sanggup melihat orang lain dalam kesusahan. Banyak kebajikan dilakukan tanpa pengetahuan umum.
Selain itu, katanya Nur Nilam juga aktif dalam kerja kemasyarakatan dengan menyalurkan bantuan kepada mangsa konflik di Palestin serta komuniti di Indonesia yang dilanda musibah. – HIBGLAM
