‘Saya takut, ada babak ‘mengancam’, banyak dosa’ 

LAMA tidak nampak kelibat pelakon Alya Iman dalam mana-mana naskhah terbaharu.

Rupa-rupanya, dia memang sengaja merehatkan diri daripada sebarang kerjaya seni demi penampilan lebih segar dan menawan.

Selama enam bulan ‘berpuasa’ banyak perkara, pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil itu berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) dan kini sedia untuk kembali aktif.

Sejujurnya 2025 tahun yang agak emosional untuk saya. Memang enam bulan saya duduk rumah untuk berehat dan kembali ke bentuk badan asal.

“Saya buat ‘comeback’ (kemunculan semula) 2026 ini, jadi setakat ini alhamdulillah nampaklah jalan itu cerah sikit,” katanya kepada HibGlam.

ENAM bulan menahan diri ibarat berpuasa daripada banyak perkara, Alya Iman memulakan 2026 dengan semangat menyala, dia berjaya kembali langsing dan ada drama hangat yang mahu dipersembahkan. – AMIR KHALID

Mengakui tertekan mendapat kritikan untuk menurunkan berat badan, Alya menyifatkan pelakon juga mempunyai hati dan perasaan apabila berhadapan dengan kata-kata negatif.

“Ya sangat (tekanan orang suruh turunkan berat badan). Pelakon pun manusia, kami tetap ada perasaan.

Umpama macam orang cakap secara langsung di hadapan muka ‘Alya, awak gemuk’. Tak ke kita rasa sakit hati tetapi pada masa sama sebagai pelakon saya faham kita kena tampil cantik dan sempurna dalam skrin,” katanya lagi.

Babak mengancam

Bercakap mengenai perkembangan kerjaya, pelakon berusia 25 tahun itu bakal tampil menerusi drama slot Lestary berjudul Bila Cinta Menjadi Dosa yang memulakan siaran pada 27 Februari depan.

Memegang watak sebagai Nurul Yasmeen, Alya mengakui naskhah tersebut mempunyai tarikan tersendiri, namun dalam masa sama hadir dengan jalan cerita yang agak membimbangkan.

“Saya memegang watak Yasmin dalam Bila Cinta Menjadi Dosa, naskhah ini berbeza daripada cerita lain sebab dia macam karya antarabangsa dan agak menakutkan sebab ternyata memang kejadian dalam cerita ini ada dalam kehidupan realiti.

“Sesungguhnya saya sebenarnya agak takut sebab cerita ini ada juga babak-babak yang ‘mengancam’ orang kata.

Berdasarkan tajuk, memang banyak dosalah dekat dalam itu. Jadi, saya pun rasa bersalah nak paparkan, apatah lagi bulan puasa.

“Tapi saya tak boleh kawal sebab memang tayang waktu itu. Cumanya, setakat ini okey saja,” luahnya.

Menyentuh mengenai babak ‘mengancam’ yang perlu dilakonkan, pelakon drama Pabila Dia Tersenyum itu tetap profesional meskipun mengakui wujud rasa kurang selesa.

“Wujud rasa tak selesa tapi kita hanya menjalankan kerja kita. Bila saya tengok skrip, ada yang lagi mengancam cuma tak buat lagi sebab sekarang masih menjalani penggambaran.

Bagi saya sebagai seorang pelakon, awak perlu cabar diri untuk buat apa sahaja babak. Janganlah sampai terlalu ‘antarabangsa’ (keterlaluan) sangat.

“Tapi untuk saya memang sebagai seorang pelakon, saya akan cuba yang terbaik dan ikut apa yang diberi atau diarahkan,” ujarnya.

MUDAH mencari keserasian dengan regu lakonan, Alya bagaimanapun lebih mudah dan seronok apabila digandingkan dengan hero senior berbanding pelakon sebaya dengannya

 

Menerusi drama terbabit, Alya bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Zamarul Hisham walaupun mulanya timbul rasa bimbang.

Saya ada dua hero iaitu Zairi Aziz dan seorang lagi Zamarul Hisham. Bila ada hero lebih senior, kadang-kadang takut kita tak cukup beraksi.

“Takut saya mengecewakan orang jadi saya ‘study’ di rumah dan buat usaha lebih sikit.

Setakat ini, saya tak perlu try hard untuk cari keserasian. Memang setiap kali saya menjalani penggambaran dengan orang yang berpengalaman, keserasian memang terus ada.

“Dia macam secara semula jadi. Sebenarnya lagi susah nak cari keserasian dengan pelakon sebaya saya,” tuturnya.

Anak kepada selebriti bintang lagenda Allahyarham Azmil Mustapha itu menambah, kredibiliti pelakon lama yang hadir ke set dengan persiapan rapi memudahkan urusan semua pihak.

“Kita tak tahu perangai dia macam mana sebab bila pelakon sebaya saya, kita kena tahu perangai dia di set.Macam orang lama, memang mereka datang set untuk bekerja saja. Mereka dah faham dan ‘terror’ (handal), jadi tak susah cari kesesuaian.

“Mereka datang ke set pun sudah siap berkarakter,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok