ADA luka tidak pernah sembuh, sekadar ditutup, menunggu masa untuk berdarah kembali.
Minggu ini, pentas seni bukan lagi tempat berhibur semata-mata, sebaliknya berubah menjadi gelanggang emosi apabila dendam lama, kata-kata terpendam dan maruah keluarga kembali dibentang ke ruang awam.
Kali ini, industri hiburan bergegar apabila satu demi satu kenyataan berani mula dilontarkan. Nama lama kembali disebut, kisah silam diungkit semula, sekali gus membuktikan konflik zaman kanak-kanak tidak semestinya terkubur bersama usia dewasa.
Api mula marak apabila pelakon sensasi, Puteri Balqis membuka semula kisah lama melibatkan rakan seangkatannya, Mia Sara.
Bukan hanya konflik biasa, malah didakwa menyentuh penghinaan terhadap ibunya hingga memberi kesan besar kepada kesihatan mental wanita tersebut.

SEKIAN lama berdiam, Puteri Balqis kini bangkin bersuara menegakkan keadilan buat dirinya dan ibu tercinta yang pernah berdepan dengan pelbagai tohman dan fitnah sejak dia kecil.
Apabila bersuara, pemilik nama sebenar Puteri Balqis Azizi itu pula dituduh mereka-reka cerita, seolah-olah trauma hanya sah jika disahkan khalayak.
Kisah menjadi semakin bercabang apabila pelakon Janna Nick memuat naik hantaran dalam Threads berkaitan melepaskan dendam.
Tanpa menyebut nama sesiapa, namun cukup untuk mencetuskan tafsiran liar. Memulangkan paku buah keras, Balqis turut memetik nama Janna secara langsung sambil mengingatkan semua pihak tentang implikasi emosi akibat kata-kata dilontarkan.
Dalam kekalutan tersebut, ramai selebriti mula ‘masuk gelanggang’. Ada tampil menyokong, ada menyindir halus, tidak kurang juga menangguk simpati.
Di tengah kekecohan, Mia Sara memilih pendekatan berdiam. Mewakili pihaknya, Xeno Entertainment memaklumkan masih menunggu masa sesuai sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan dilemparkan.
Namun, emosi Balqis yang mesra disapa Aqish itu tampak sampai ke kemuncak apabila satu hantaran ringkas dimuat naik memaklumkan dirinya ‘frustrated’.
Semua hantaran pendedahan kemudian dipadam, meninggalkan tanda tanya besar, adakah itu noktah atau sekadar jeda sebelum episod seterusnya bermula?
Ketika persoalan terus berlegar, HibGlam secara eksklusif mendapatkan ibu kepada remaja 19 itu, Norashikin Mohd Aziz.
Nada wanita itu tegas, tidak berlapik, malah jelas menyatakan mereka tidak akan mengalah walaupun memilih untuk merendahkan suara dalam media sosial.

TANGISAN Mia Sara ketika merungkai kesukaran yang hadapinya ketika ini.
Katanya, mereka tidak gentar dengan sebarang kemungkinan. Tuduhan, ancaman atau tekanan dianggap sebahagian daripada harga mempertahankan maruah keluarga.
“Aqish padam hantaran sebab saya suruh. Saya mahu dia fokus kerja. Tetapi apa sahaja yang berlaku selepas ini, sama ada saman, tindakan undang-undang atau tidak, kami terima. Tak ada masalah,” katanya yang mesra disapa Ashikin.
Ashikin juga menolak keras tuduhan kononnya Aqish sengaja membuka aib pihak lain secara semberono.
“Bukan kerja kami dedahkan orang pergi mabuk atau buat perkara tak bermoral. Itu bukan perangai anak saya.
Kalau seseorang itu mahu hidup cara sendiri, itu hak mereka. Tapi jangan jadikan orang lain kambing hitam. Jangan fitnah keluarga orang lain untuk tutup kesalahan sendiri,” luahnya.
Tambahnya, meskipun memilih untuk memperlahankan suara dan tidak lagi membuat pendedahan terbuka, bukan bermakna isu itu sudah berakhir.
“Perkara ini tak akan selesai begitu sahaja. Belah sana akan terus menafikan, seperti biasa. Mereka akan kata kami cari gaduh.
Saya tak pandai berpura-pura. Talam dua muka memang bukan cara hidup saya,”ujarnya.

ASHIKIN (kanan) berkata, kesabarannya sudah lama diuji malah situasi yang berlarutan memaksa mereka mempertahankan diri.
Menurut Ashikin, anaknya juga bukan individu gemar mencetuskan konflik, sebaliknya sering menjadi sasaran.
“Semua pergaduhan Aqish bermula daripada pihak sana. Kes Janna Nick bermula daripada dia sendiri.
Macam Mia Sara, dia sepatutnya minta maaf secara terbuka. Terang-terangan dia gunakan saya, tuduh saya tak beragama.
“Sekarang semua orang tahu. Itu bukan aib. Itu mempertahankan diri,” katanya.
Baru kini tampil bersuara, Ashikin berkata kesabarannya sudah lama diuji malah situasi yang berlarutan memaksa mereka mempertahankan diri.
Saya difitnah berterusan atas perkara yang 100 peratus saya tak buat. Orang yang memfitnah pula berlagak seperti malaikat tetapi di belakang, nama kami terus diburukkan. Sampai bila dia nak lepas tangan?
“Kami tak mampu hari-hari bercerita apa kami lalui. Baru sedikit orang sudah kata kami mengamuk. Cuba bayangkan berapa lama kami bertahan.
Sejak dulu sampai sekarang, pernahkah Aqish dedahkan orang pergi kelab atau ambil dadah? Tak pernah.
“Kami buat tak tahu. Tapi bila keluarga kami digunakan bertahun-tahun sebagai kambing hitam, saya tak boleh lagi diam. Saya bukan ibu yang mengamuk tanpa sebab. Ada had. Bila had itu dilanggar, saya kena bersuara,” tegasnya. – HIBGLAM
