BERNUANSA horror-thriller, Send Help olahan sutradara Sam Raimi mengisahkan dua jiwa, si majikan bongkak dan seorang pekerja bijak yang sering dipandang rendah. Kisah mereka mula bergerak apabila terkandas di sebuah pulau akibat pesawat yang sama-sama dinaiki terhempas.
Secara peribadi, penulis tidak mempunyai masalah menonton dan menghabiskan naskhah berdurasi sejam 53 minit tersebut. Elemen komedi gelap dan ‘campy’ (dunia asing) yang diselitkan dalam Send Help adalah penyelamat naskhah berkenaan daripada ‘tersasar’ jauh.
Plot perjalanan Send Help boleh diumpamakan sebuah pelayaran yang agak panjang, namun penonton tetap tiada idea apa akan berlaku dari masa ke masa.
Atas alasan sebegitu, elemen komedi gelap sebagai sebuah kelaziman dalam budaya perfileman mat salih adalah satu pilihan bijak.

LINDA lakonan Rachel Adams sedikit mengingatkan penonton terhadap Tom Hanks dalam Cast Away, tinggal lagi nuansa dan karakternya agak berbeza.
Pertama sekali dari segi terjemahan karakter, Rachel McAdams sebagai Linda dan Dylan O’Brien (Bradley), sinergi antara mereka sangat menjadi dan tidak banyak cela.
Bayangkan anda berada di tempat Linda, seorang akauntan yang dimalukan majikan baharu (Bradley) si angkuh yang terlalu mendongak ke langit sehinggalah tragedi menimpa mereka. Ketika itu, wanita yang sering dipandang rendahlah paling berfungsi.
Rachel McAdam sebagai Linda adalah pilihan yang bijak ditambah dengan kemenjadian kerja O’Brien sebagai Bradley.
Untuk seorang peminat genre seram dan komedi gelap, Send Help berdiri sebagai sebuah filem menyeronokkan tonton golongan audiens dewasa terutamanya.
Penulis sukakan adunan elemen kejutan, misalnya ketika McAdams menunjukkan semua skil kelangsungan hidup andai terdampar di sebuah kepulauan.
Melancong tapi berseni
Penonton dipaparkan bagaimana Linda memburu babi hutan untuk dijadikan hidangan makan malam, tentang kebolehan mengenal buah beracun agar tidak dimakan dan perihal lain.
Dari segi visual, Send Help bukanlah sesuatu yang menjanjikan harapan menjulang. Masih banyak kelemahan, namun sebagai sebuah filem horror dengan suntikan komedi gelap, apa yang dipaparkan sudah memadai.

KISAH tersadai di persekitaran asing, Send Help masih layak ditonton, namun bukan sebuah filem bertaraf lima bintang.
Menjalani penggambaran di Thailand, penulis tidak pasti apa alasan kesan khas digunakan untuk menampakkan kepulauan di negara Gajah Putih itu lebih ‘gah’ sedangkan itu bukan satu keperluan.
Usai tontonan, terlintas dalam fikiran adakah filem berkenaan dibikin ketika produksi termasuk McAdams dan O’Brien sedang melancong di sana.
Bukan tujuan asalnya untuk buat filem, tetapi melancong atau bercuti.
Semua kelihatan seperti sekumpulan sahabat yang ada sedikit ilmu ‘perfileman’ dan secara tiba-tiba muncul mahu bikin filem. Hasilnya tidaklah terlalu mengujakan, namun pada masa sama tidak juga terlalu membosankan.
Keseluruhannya, Send Help sebuah filem yang menghiburkan untuk ditonton. Buat penulis, adakah akan kembali duduk menonton kali kedua? Jawapannya, tidak sama sekali. – HIBGLAM
