‘Niat saya mahu melindungi dia, tak sangka dianggap menghina’

BIARPUN wujud polemik melibatkan dirinya dengan Puteri Balqis, pelakon Mia Sara mengakui mengagumi bakat aktres tersebut sejak kecil, namun realiti industri mencorakkan naratif sebaliknya hingga mencetus salah faham berpanjangan.

Ujar Mia atau nama penuhnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 21, Puteri Balqis merupakan figura seni lakonan muda yang sentiasa mencuri perhatiannya, malah menjadi gambaran pelakon wanita seperti mana ingin dibentuk dalam diri sendiri.

“Saya sangat mengagumi dia. Bagi saya, cara dia mengekspresikan emosi melalui lakonan terlalu jujur dan halus. Apa dia lakukan itu satu bentuk seni.

Industri buatkan kami nampak macam bermusuhan dan saling membenci. Kalau tak percaya, cuba cari artikel pertama tentang Puteri Balqis dan Mia Sara, tahun berapa.

“Logik ke budak tujuh tahun dengan enam tahun nak ada isu besar? Masa itu kami baru pertama kali jumpa, datang latihan, habis penggambaran, tiba-tiba keluar artikel,” katanya dalam audio siar yang dikendalikan pengacara Datuk Aznil Nawawi.

Tambah pelakon filem Strawberi & Karipap itu, keaadan tersebut secara tidak langsung mengheret kedua-duanya ke kancah kecaman sejak usia mentah, sekali gus meninggalkan kesan emosi mendalam.

Kami tak pernah berbual secara peribadi pun. Tahu-tahu, orang mula membenci. Saya kena, dia pun terkena. Perspektif masyarakat terus terbentuk.

“Umur saya 15 tahun, saya nampak orang mula muat naik gambar Aqish di TikTok dan kecam dia teruk. Masa itu saya takut dia tenggelam seperti saya,” luahnya.

Didorong rasa empati, Mia tampil mempertahankan rakan seindustri itu, namun niat murni berakhir dengan salah tafsir besar.

Saya hanya mahu lindungi dia. Saya pesan supaya orang menegur dengan baik, jangan menghukum. Kita dibesarkan dengan latar berbeza, kita tak tahu apa orang lalui.

“Saya tak sangka kata-kata itu dianggap menghina. Bila baca semula, memang ayat saya mengundang. Saya akui kesilapan itu.

“Kecaman datang bukan sekadar daripada netizen, malah ibu bapa orang lain. Saya dicaci, dihina, penampilan turut diperkatakan. Bila Twitter jadi kecoh, saya rasa semua orang membenci saya,” jelasnya.

Lebih memilukan, Mia mendedahkan dirinya pernah berada pada titik paling gelap dalam kehidupan, hidup dalam ketakutan dan memendam derita secara senyap.

Saya hidup dalam ketakutan, sering bercakap sendirian di tandas. Ada masa paling gelap sampai saya mencederakan diri sendiri. Semua saya lalui tanpa beritahu sesiapa.

“Pada waktu itu, saya rasa kesakitan itu sesuatu yang saya layak terima. Sampai hari ini, kesannya masih terasa,” dedahnya.

Enggan keadaan terus keruh, Mia menyampaikan mesej terbuka buat Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish dengan menegaskan dirinya tidak pernah berniat memburukkan aktres tersebut.

Saya harap mesej ini sampai kepada dia. Saya tak pernah berniat bercakap buruk. Waktu itu saya masih muda, belum matang. Niat saya hanya mahu melindungi, bukan menghina,” tuturnya.

Sebelum ini, Puteri Balqis meluahkan rasa bengang terhadap tindakan Mia yang didakwa pernah memburukkan dirinya serta ibunya di khalayak ramai, selain menyifatkan tangisan aktres itu sebagai usaha meraih simpati.

Video temu bual antara Aznil dan Mia dirakam sebelum konflik mereka semakin memanas baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok