‘Kisah skandal, ketuk pintu bilik kita tak cerita’ 

SEBUT sahaja nama Zarul Umbrella pasti ramai yang akan tergiang-ngiang lagu hit Ramalanku Benar Belaka.

Selain lagu tersebut, Zarul juga kini lebih popular dengan siri podcast (audio siar) Borak Dalam Galley (BDG) yang mengupas tentang pengalaman pekerja di syarikat penerbangan yang terdiri dalam kalangan selebriti mahupun pempengaruh.

Bermula dengan video konten berbual secara suka-suka bersama rakan-rakan selebriti, siapa sangka kini Zarul atau nama lengkapnya Zairulkefli Husin, 52, memiliki sebuah studio untuk merakam sesi podcast sendiri.

Saluran YouTube miliknya juga kini dilanggan 360,000 pelayar internet.

Biarpun menyewa studio tersebut bersama rakan kongsinya, namun modal yang dikeluarkan untuk menyiapkan platform tersebut boleh tahan lumayan.

Menurut Zarul dia berhabis sekitar RM150,000 untuk studio yang terletak di Cyberjaya itu.

BERMULA dengan kisah selebriti bekas pramugari dan pramugara, kini popcast kendalian Zarul terbuka untuk semua selebritI

“Semuanya bermula pada 2019 apabila saya buat konten bersama rakan-rakan selebriti yang pernah bertugas di awan biru. Ketika itu saya berbual dengan mereka di pelbagai tempat, bukan di studio.

“Lama-kelamaan video saya semakin mendapat sambutan dan saya wujudkan Podcast BDG. Saya juga mengundang dua hos jemputan iaitu CK Faizal dan Fiza Kamaruzzaman.

Bila semakin berkembang maka bajet juga harus berkembang. Jadi saya laburkan wang sekitar RM150,000 untuk buat studio sendiri. Segala peralatan dalam studio seperti kamera dan lampu juga saya beli sendiri. Studio ini bukan hanya digunakan untuk penggambaran podcast, tetapi saya buka untuk disewa pihak lain,” katanya.

Cabaran podcast

Ditanya, apakah cabaran dalam menerbitkan podcast BDG, kata Zarul dugaan utama adalah memastikan podcast terbitannya kekal relevan untuk jangka masa panjang.

“Ketika baru bermula, tetamu undangan saya yang menjadi kekuatan konten. Penonton nak lihat pengalaman mereka, terutamanya selebriti yang pernah berkhidmat di awan biru.

Namun tidak ramai selebriti yang pernah menjadi pramugari atau pramugara. Lama-lama kita akan kehabisan ‘stok’ juga. Jadi kita mula undang sesiapa sahaja yang pernah berkhidmat dalam syarikat penerbangan yang mempunyai kisah menarik untuk dikongsikan.

“Dalam masa yang sama kita masih undang selebriti yang belum pernah muncul dalam podcast saya. Saya juga buat episod khas seperti istimewa hari raya agar konten saya lebih variasi dan tidak membosankan,” jelasnya.

Zarul juga sedaya upaya akan cuba mengundang tetamu atas permintaan penonton.

Ditanya siapakah antara selebriti yang berada di dalam ‘wish list’ untuk menjadi tetamunya, kata Zarul dia sudah lama idamkan Anuar Zain , Rozita Che Wan dan Scha Al Yahya.

Buka aib

Lumrah menjadi pencipta kandungan, terutama yang menerbitkan podcast, pasti tidak terlepas daripada terpalit kontroversi. Begitu juga dengan Zarul apabila salah satu episod yang membabitkan tetamu jemputan, Maria Tunku Sabri dikecam ramai.

Dalam episod tersebut, Maria berkongsi pengalaman membaling dulang gara-gara tidak berpuas hati dengan kru yang bertugas bawah seliaannya.

Ramai yang mengecam keterbukaan Maria bercerita tentang pengalaman, terutama kru penerbangan yang menyifatkan perkara sebegitu sebagai sesuatu yang negatif dan tidak perlu dibanggakan.

SEBAGAI pengendali popcast, Zarul seboleh-boleh cuba untuk tidak mewujudkan isu buli atau mengaibkan mana-mana pihak.

Cakna dengan pandangan penonton, Zarul bertindak mengeluarkan bahagian tersebut dalam episod berkenaan.

Kata Zarul, dia tidak mahu isu tersebut menjadi lebih besar dan bukan niatnya untuk membuka aib atau pekung industri penerbangan.

“Memang saya akui perkara seperti itu (buli) tidak sepatutnya saya gembar-gemburkan. Saya pun tak sangka jadi viral.

Jadi saya turunkan video itu kerana tidak mahu terkait dengan gajala buli. Kita pun banyak kurangkan cerita buli-membuli sewaktu bertugas.

“Podcast saya bukanlah bertujuan untuk membuka aib. Apa yang dipaparkan adalah berdasarkan pengalaman tetamu undangan.

“Sejujurnya ada lebih banyak kisah panas yang berlaku di dalam industri ini. Tetapi biarlah antara kru sahaja yang tahu.

Takkan saya nak buka cerita hal dalam kain. Saya juga pernah menjadi kru. Kisah skandal, ketuk pintu bilik ke itu semua kita tak cerita. Kita masih ada batas,” kongsinya.

Podcast inspirasi anak muda

Biarpun terpalit kontroversi, namun ada lebih banyak kesan positif podcast kendalian Zarul, terutama buat generasi muda.

Kongsi Zarul, ramai anak muda yang terinspirasi daripada podcast BDG untuk menjadi kru penerbangan.

Saya berjumpa dengan ramai anak muda di luar sana yang memberitahu bahawa mereka terinspirasi dengan kisah-kisah yang dikongsikan dalam podcast BDG.

“Ramai juga yang menjadikan BDG sebagai rujukan sebelum mereka pergi ke sesi temu duga sebagai kru penerbangan.

Ramai juga yang DM (mesej) saya beritahu mereka kini diterima bekerja dengan syarikat penerbangan hasil daripada menonton podcast BDG. Ada yang diterima bekerja di syarikat terkemuka seperti Singapore Airlines.

“Perkara sebegini yang membuatkan saya tersentuh dan ingin memberikan yang terbaik untuk penonton-penonton BDG,” ujarnya.

Ceti haram

Di sebalik populariti dan pencapaian, siapa sangka Zarul juga mempunyai 1,001 kisahnya tersendiri sebelum bergelar seorang pramugara.

MESKI kian popular sebagai hos podcast, kecintaan Zarul terhadap karier nyanyian dan lakonan tidak pernah pudar bahkan bakal muncul dengan sebuah drama tidak lama lagi.

Sebelum bertugas di awan biru, Zarul terlebih dahulu bekerja di kedai makan selama tiga tahun, ketika itu dia baru sahaja meninggalkan kumpulan Umbrella.

“Ketika itu ekonomi tengah gawat. Selepas tinggalkan Umbrella saya buat keputusan untuk berkahwin menggunakan segala wang yang ada ketika itu. Kemudian saya bekerja di kedai makan selama tiga tahun.

Saya pernah meminjam duit daripada along ketika itu kerana kesempitan hidup. Tambahan pula anak sulung saya baru lahir.

“Sehinggalah satu hari ada kru penerbangan datang makan di kedai saya. Mereka lihat saya dan menyarankan saya untuk menghadiri temu duga bersama Malaysia Airlines. Kata mereka saya ada rupa dan masih muda.

Saya pun pergi temu duga itu dengan harapan untuk mencari rezeki buat keluarga. Tetapi selepas menghadiri sesi temu duga tersebut, saya kurang yakin akan diterima. Namun siapa sangka saya terpilih dan akhirnya kekal berkhidmat selama 17 tahun sehinggalah saya sertai Gegar Vaganza musim ketiga pada 2016,” kongsinya.

Ditanya, tidakkah terbit kerinduan untuk bertugas di awan biru sementelah bergaji tetap setiap bulan, kata Zarul dia sudah puas bekerja dalam industri penerbangan selama 17 tahun.

“Tempoh 17 tahun bukan satu masa yang singkat. Saya sudah puas. Saya bertugas sejak tahun 1999 dan melalui era kegemilangan Malaysia Airlines,” ujarnya.

Tak lupa karier seni

Disebabkan dia kini lebih popular sebagai hos podcast, ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi.

Kata Zarul dia tidak pernah meninggalkan kerjaya seni dan masih menerima tawaran sekiranya bersesuaian.

“Kerjaya seni adalah periuk nasi saya selepas saya berhenti menjadi kru penerbangan kira-kira 10 tahun lalu. Saya masih aktif menyanyi dan berlakon.

Saya akan terlibat dengan penggambaran sebuah drama nanti. Dan juga paling istimewa tahun ini akan ada showcase daripada Umbrella.

“Bila dan di mana belum dapat dikongsikan lagi. Tetapi yang pasti semua anggota asal Umbrella akan terlibat,” kongsinya. – HIGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok