DIDAKWA kononnya menanggung pasangan tidak bekerja, penyampai radio dan pelakon Sharifah Shahirah menyangkal tuduhan tersebut selain menegaskan peranan suami tidak wajar diukur melalui wang ringgit semata-mata.
Ujar Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 51, suaminya, Ijoy, bukanlah individu tidak berfungsi sebagai ketua keluarga seperti dianggap ramai sebaliknya menjadi tonggak sokongan emosi buat dirinya serta anak-anak.
“Memang ada orang kata Ijoy tak bekerja. Tapi sebenarnya dia bekerja, cuma kerjanya menyenangkan hati saya.
Dia uruskan keluarga dan beri sokongan dari belakang. Saya perlukan suami jenis begitu, bukan sekadar keluar cari duit.
“Bila badan saya tak larat, Ijoy ambil alih urusan anak-anak,” katanya menerusi sesi temu bual sebuah program audio siar.
Tambah penyampai radio Sinar FM itu, realiti dunia seni hari ini juga membuatkan tawaran kerja lakonan buat suaminya semakin tidak sepadan dengan nilai masa dan tenaga.
Ijoy ada gerai makan. Kalau dapat tawaran berlakon pula, bayarannya sekitar RM500 sahaja. Bukan dia tak mahu berlakon.
“Kalau saya buat ulasan dalam Instagram, pendapatan boleh lebih daripada jumlah itu. Jadi RM500 untuk berlakon memang tak masuk akal,” ujarnya.
Sudah lali diajukan soalan sama, ibu lima anak itu mengakui tidak lagi ambil pusing pandangan sinis masyarakat terhadap kehidupan mereka sekeluarga.
“Saya sudah sampai tahap malas nak ambil peduli. Biarlah orang tengok kami macam tak ada apa-apa, anggap hidup susah atau miskin. Saya tak kisah lagi.
Kalau orang kata lelaki perlu buat itu dan ini, saya tak mampu ubah persepsi semua. Saya tahu Ijoy sudah cuba sehabis baik,” luahnya.
Paling penting katanya, setiap manusia hadir dengan kelebihan tersendiri, termasuk suaminya meskipun tidak sempurna di mata umum.
“Saya tak boleh buktikan kepada semua orang bahawa keluarga kami paling terbaik.
Ijoy ada kekurangan, tapi dalam kekurangan itu ada kebaikan besar. Tiada manusia sempurna.
“Rezeki setiap orang berbeza dan cara hidup juga tidak sama,” tuturnya.
Untuk rekod, Shiera mendirikan rumah tangga bersama Ijoy pada 2003 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Airel, 22, Airra, 19, Audra, 17, serta Adeena, 10.
Sebelum itu, Shiera pernah berkahwin dengan penyanyi Jatt Ali dan memiliki seorang anak perempuan, Tallisya, kini berusia 28 tahun. – HIBGLAM
