Penganjur konsert RadjaWali bakal saman pengurusan lokasi

PENGANJUR  Konsert Pentas RadjaWali bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan lokasi susulan insiden penutupan sistem bunyi secara tiba-tiba ketika acara berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 10 Januari lalu.

Konsert anjuran Impian Al Fateh Sdn Bhd, GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) itu terhenti secara mengejut ketika kumpulan popular Indonesia, Wali Band, sedang menyampaikan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah Di Balik Batu, sekali gus mencetuskan kemarahan peminat.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd. Aris berkata, situasi tersebut menimbulkan salah faham besar apabila penganjur menjadi sasaran kecaman, sedangkan perkara sebenar tidak diketahui umum.

“Kami akui berlaku sedikit kelewatan pada awal acara, namun puncanya berpunca daripada masalah teknikal di luar kawalan kami, bukan disebabkan kelemahan penganjur semata-mata.

Kesesakan di pintu masuk terjadi akibat gangguan sistem penyedia tiket sehingga proses pengesahan menjadi perlahan,” katanya kepada HibGlam.

Insiden tersebut terus hangat diperkatakan apabila pelbagai pihak, termasuk luar industri menyalahkan penganjur sehingga menjejaskan reputasi syarikat serta barisan artis terlibat.

Berikutan itu, pihak penganjur memandang serius kejadian berkenaan dan kini sedang berbincang bersama panel peguam bagi meneliti tindakan undang-undang terhadap pengurusan lokasi atas faktor kecuaian serta pelanggaran persetujuan.

Bukan itu sahaja, keadaan bertambah sukar apabila liputan internet di dalam dewan terlalu lemah, sekali gus menyukarkan penonton memaparkan kod QR serta melambatkan proses imbasan.

“Siasatan awal mendapati tindakan mematikan bekalan elektrik tepat jam 12 tengah malam dibuat secara unilateral tanpa sebarang persetujuan lebih awal. Perkara itu amat kami kesalkan.

Ditambah pula pada awalnya, masalah capaian internet menyebabkan petugas berdepan kesukaran. Situasi itu mencetuskan kesesakan luar biasa lalu menjejaskan waktu permulaan persembahan.

“Kelewatan bukan berpunca daripada artis, sebaliknya melibatkan pasukan tiket dilantik pihak pengurusan lokasi,” ujarnya pada sidang media penjelasan dan pengumuman khas konsert RadjaWali, hari ini.

Akhtar turut mendedahkan pihaknya sudah berusaha berunding dengan Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di lokasi bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan dengan baik.

“Kami memohon kelonggaran masa hingga 12.30 tengah malam supaya artis sempat menyampaikan lagu terakhir.

Malah kami sanggup menanggung risiko, termasuk kehilangan deposit atau dikenakan denda, asalkan peminat pulang dengan rasa puas,” jelasnya.

Tegasnya, persetujuan secara lisan telah diperoleh untuk satu lagu penutup sebagai bonus buat peminat.

“Saya sendiri naik ke pentas memaklumkan kepada vokalis Wali Band agar lagu seterusnya dijadikan penutup.

“Namun sebaik lagu sedang dimainkan tamat, pihak venue terus mematikan sistem bunyi tanpa memberi ruang artis membuat pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal,” dedahnya.

Paling penting kata Akhtar, tiada sebarang klausa dalam perjanjian membenarkan pemilik lokasi menutup sistem bunyi secara mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.

Malah dia turut menegaskan tindakan tersebut boleh mencetuskan risiko keselamatan apabila penonton berada dalam emosi tinggi.

“Di bawah Enakmen Hiburan Negeri Selangor, acara hiburan dalam dewan dibenarkan beroperasi hingga jam 1 pagi.

Oleh itu, penutupan pada jam 12 tengah malam tidak berasas serta bercanggah dengan kelulusan operasi.

“Situasi sebegitu boleh mengundang kekecohan. Mujur penonton di negara ini masih mampu mengawal emosi. Jika di tempat lain, keadaannya mungkin jauh lebih buruk,” kongsinya.

Sementara itu, peguam mewakili penganjur konsert Pentas RadjaWali iaitu Hasshahari Johari Mawi berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan jumlah kerugian yang dialami meliputi kerosakan reputasi serta kerugian untuk dibawa ke mahkamah.

“Pada peringkat ini saya sudah mendapat arahan untuk mengambil tindakan undang-undang. Kita sekarang dalam peringkat akhir untuk tentukan apa kerugian kita sebelum kami teruskan tindakan seterusnya.

Tindakan undang-undang akan dimulakan sebaik sahaja penilaian penuh, selesai dilakukan dan dijangka akan dibuat dalam masa terdekat,” terangnya.

Dalam perkembangan sama, pihak penganjur kini sedang memuktamadkan jumlah kerugian melibatkan reputasi serta kerugian material sebelum dibawa ke Mahkamah.

Namun sebagai tanda permohonan maaf kepada peminat, penganjur tampil dengan satu pengumuman istimewa.

“Kami akan membawa semula Wali Band ke Malaysia untuk sebuah konsert khas bagi mengubati kekecewaan peminat.

Tarikh dirancang pada 1 Mei depan dan penonton konsert terdahulu layak menerima diskaun istimewa dengan mengemukakan bukti pembelian tiket.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan berlaku dan berjanji menuntut keadilan demi memulihkan maruah penganjur serta hak para peminat,”tuturnya.

Terdahulu, harapan peminat untuk menyaksikan keseluruhan persembahan Wali Band musnah apabila Konsert Pentas RadjaWali dihentikan serta-merta, sedangkan kumpulan itu masih dijadualkan menyampaikan beberapa lagu popular seperti Yank, Cari Jodoh dan Tobat Maksiat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok