SEMAKIN pulih, bekas vokalis Exists, Mamat meluahkan rasa syukur memilih menjalani rawatan pemulihan dadah di bawah Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang sejak dua tahun lalu.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 48, menyifatkan keputusan memasuki pusat pemulihan sebagai langkah paling bermakna dalam hidup selepas melalui fasa gelap akibat ketagihan.
“Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur dengan keputusan ini. Hati saya tenang dan gembira.
“Berteduh hampir dua tahun di sana, setiap hari memang timbul sahaja semangat baharu untuk bangkit,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun Gadis Ayu itu, kehadiran individu senior di pusat pemulihan memberi inspirasi besar kepadanya untuk terus kuat melawan ketagihan.
“Bila tengok orang lama sudah pulih, saya jadikan mereka contoh. Suatu masa dulu, mereka juga terjebak dengan dadah, tetapi sekarang sudah berada di tahap lebih baik.
“Kalau mereka mampu berubah, mengapa tidak saya? tentulah saya juga boleh sampai ke tahap sama,” ujarnya pada sidang media showcase Cinta Mamat Untuk Peminat di sini, semalam.
Mamat tidak menafikan cabaran kekal besar, terutama godaan untuk kembali ke cara hidup lama, namun dia memilih langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri.
“Untuk kata tidak kembali kepada kegiatan itu, saya tak berani cakap, tetapi setakat ini ke mana-mana saya tak pergi bersendirian. Ada orang iringi.
“Tetapi pucuk pangkal sebenarnya bergantung pada diri sendiri, sama ada mahu teruskan proses penyembuhan atau kembali ke jalan lama.
“Tipulah kalau tidak ada orang cuba ‘hasut’ tetapi dengan adanya pengiring, saya rasa lebih selamat,” luahnya.
Mengulas lanjut, bapa tiga anak itu mengakui proses pemulihan bukan sesuatu berlaku sekelip mata, sebaliknya melalui fasa panjang serta memerlukan disiplin tinggi.
“Proses pemulihan ada fasa demi fasa. Bukan masuk pusat pemulihan terus pulih.
“Saya di bawah jagaan PENGASIH hampir dua tahun dan turut dipantau AADK. Sepanjang tempoh itu, saya perlu ikut program rawatan serta perancangan ditetapkan,” jelasnya.
Kini bergelar sukarelawan di PENGASIH, Mamat memaklumkan dirinya masih menjalani saringan berkala bagi memastikan kekal berada di landasan betul.
“Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik. Bila jadi sukarelawan, tetap ada saringan, bimbingan serta rawatan susulan.
“Semua ini penting supaya saya tidak kembali terjebak dengan dadah,” kongsinya.
Untuk rekod, pada Julai 2024, Mamat dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.
Mahkamah Sesyen turut menjatuhkan hukuman denda RM4,000 selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain diperintah menjalani dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong bagi tujuan rawatan dan pemulihan. – HIBGLAM
