INDUSTRI muzik tanah air kembali meledak dengan kelahiran sebuah kolaborasi berani antara penyanyi Siti Nordiana, bergandingan bersama artis rap generasi baharu, Apit Tearra, menerusi single terbaharu berjudul Merayu Angan.
Dikenali menerusi balada sarat emosi, Siti Nordiana berkata, percubaan baharu ini menyingkap sisi lebih segar dan kontemporari tanpa menghilangkan identiti jiwang miliknya.
“Merayu Angan memberi pengalaman sangat berbeza buat saya. Ini kali pertama mencuba elemen rap dan pada awalnya memang ada rasa gementar.
“Namun selepas mendengar keseluruhan konsep lagu ini, saya rasa ia sesuatu yang segar dan jujur. Gabungan rap serta jiwang membuatkan saya lebih bebas mengekspresikan emosi dengan cara baharu,” katanya.
Muncul dengan konsep rap berbalut jiwang leleh, karya tersebut menampilkan sisi berbeza dalam landskap muzik arus perdana tempatan.
Gabungan emosi cinta rapuh dengan rap lembut serta puitis menjadikan Merayu Angan dekat di hati pendengar merentas usia dan latar.
Keberanian Siti Nordiana mencuba elemen rap buat pertama kali menjadi antara tarikan utama lagu tersebut.
Sementara itu, Apit Tearra tampil membawa pendekatan rap tidak keras, sebaliknya penuh rasa dan dekat dengan jiwa pendengar tempatan.
Ujarnya, rap jiwang leleh menjadi nadi utama lirik disampaikan, sekali gus membezakan dirinya daripada kebiasaan arus perdana.
“Saya mahu Merayu Angan menjadi lagu rap dekat dengan perasaan orang kita. Bukan rap keras, tetapi rap jujur dan leleh.
“Bekerja dengan Siti Nordiana satu penghormatan besar. Emosi serta kekuatan vokalnya sangat mendalam, malah menghidupkan lagu ini dengan cara tidak pernah saya bayangkan sebelum ini,” ujarnya.
Kolaborasi dua dunia berbeza ini membuktikan rap dan jiwang mampu bersatu secara harmoni, sekali gus membuka ruang baharu dalam penerokaan muzik tempatan.
Percantuman suara generasi lama dan baharu menjadikan Merayu Angan satu naskhah segar buat pendengar mendambakan kelainan.
Single Merayu Angan kini boleh distrim di semua platform digital utama, sekali gus menandakan satu lagi langkah berani dalam evolusi muzik Malaysia. – HIBGLAM
