SEHARI sebelum berlangsungnya Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza berlangsung, penulis sempat berbual dengan bekas Pengarang Hiburan, Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa.
Kami berdua senada tentang aura konsert Biduanita Negara itu yang tidak ubah seperti sambutan hari raya.
Mana tidaknya, selepas 22 tahun, penyanyi nombor satu negara itu kembali beraksi dalam sebuah konsert mega di lokasi ikonik, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Lantas, tidak berlebihan untuk menyatakan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza adalah sebuah perayaan bagi 65,000 peminat yang hadir dari segenap pelosok tanah air bahkan ada sanggup meredah samudera, membelah awan demi menjadi sebahagian daripada sejarah menyaksikan konsert yang meraikan perjalanan tiga dekad seorang legenda.
Tidak cukup dengan peminat tanah air sendiri, ada yang sanggup berhabis merentas benua demi menyaksikan bintang kesayangan mereka itu. Ada peminat datang dari Portugal, Hong Kong, Australia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Pada hari konsert berlangsung, penulis sengaja datang awal ke SNBJ demi melihat situasi di luar stadium. Tambahan pula tidak mahu bersesak menggunakan LRT.
Bagai dijangka, suasananya meriah. Melihat kesungguhan peminat hadir memakai pakaian mengikut tema rona monochrome atau perak, terasa seperti berada di planet lain ciptaan Siti Nurhaliza.
Saat melangkah masuk ke dalam stadium, lautan peminat yang memenuhi segenap ruang stadium bikin tergamam mata memandang.

PULUHAN diskografi dan ratusan lagu variasi genre yang kebanyakannya ‘sing along’ menjadi kelebihan buat Siti Nurhaliza untuk memukau peminat walaupun hadir dengan deretan konsert saban tahun. – ISKANDAR ISHAK
Tepat pukul 8.30 malam, Siti membuka tirai persembahan dengan Purnama Merindu dipetik daripada album Adiwarna terbitan 1998.
Adiwarna adalah album pertama Siti yang dinobatkan sebagai Album Terbaik Anugerah Industri Muzik. Mungkin itu signifikasinya kenapa Siti memulakan konsertnya dengan lagu Purnama Merindu.
Menggayakan busana beropol mega pada bahagian bahu, Siti persis bidadari menyanyi dari atas kren.
Lagu pertama sahaja sudah bikin peminat larut dalam pesona suaranya yang lunak bak buluh perindu.
Sewaktu menyapa penonton, Siti mengakui senak perut melihat stadium penuh.
“Senak perut saya tengok pemandangan ribuan peminat di stadium ini. Dulu waktu konsert Fantasia Tour, pentas di bahagian hujung. Saya masih ingat lagi kecil sahaja pentasnya.
Tetapi hari ini, saya sediakan pentas yang besar bersama skrin besar. Saya harap semua peminat akan nampak Siti Nurhaliza,” katanya.
Konsert pada malam itu dibahagikan kepada empat segmen berbeza yang bermula dengan perjalanan gadis sunti berusia 16 menjuarai Bintang HMI 1995 sehinggalah dianugerahkan pengiktirafan tertinggi iaitu Biduanita Negara.
Sebanyak 42 seleksi lagu didendangkan secara penuh dan medley. Selain solo, Siti turut berduet dengan anak saudaranya, Umairah, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Cakra Khan.

SEPANJANG tiga dekad meladeni seni suara dan muzik sebagai kecintaan, Siti kekal menjadi puspita hati peminat.
Sebagai penyanyi yang memiliki diskografi variasi genre, konsert Siti meriah dengan pelbagai jenis konsep persembahan. Ini merupakan salah satu keberuntungan Siti.
Dia boleh menyanyi sambil berdiri tegak mahupun berdansa bersama barisan penari. Inilah definisi sebenar penghibur sejati.
Vokal Siti dapat dinikmati sepuasnya sewaktu beliau mengalunkan rangkaian lagu balada termasuk Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Demi Kasih Sayang, Kesilapanku Keegoanmu, Kau Kekasihku, Biarlah Rahsia, Bukan Cinta Biasa, Menamakanmu Cinta, Seribu Kemanisan.
Seperkara tentang Siti, beliau sentiasa menghidangkan peminat dengan teknik nyanyian baharu setiap kali muncul dalam sesebuah konsert. Ini secara tidak langsung menambahkan lagi warna dalam persembahannya.
Stadium bergema dengan sorakan apabila anak jati Kuala Lipis, Pahang itu mendendangkan lagu rancaknya iaitu Satu Cinta Dua Jiwa, Bisikan Asmara dan Destinasi Cinta.
Majoriti bangun dari kerusi untuk sama-sama berdansa dengan penyanyi pujaan ramai itu. Gamat jadinya.
Sewaktu menyampaikan lagu Destinasi Cinta, Siti turut menampilkan penyanyi remaja, Auddra atau Oddah yang menari lincah bersamanya. Rupa-rupanya itu adalah sesi pengenalan Oddah sebagai artis baharu naungan SNP Productions.

TIDAK sendirian, Siti turut menyerikan konsert dengan persembahan duet bersama Cakra Khan dari Indonesia, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Umairah.
Antara segmen menarik pada hemat penulis adalah segmen duet bersama penyanyi undangan. Paling mencuri perhatian pastinya duet bersama Noh Salleh.
Memandangkan Siti tidak mendedahkan senarai lagu sebelum konsert, penulis sangat mengharapkan Siti akan menyampaikan lagu Kau Mawarku dan Bagaikan Sakti. Dan ternyata impian itu tertunai malam Sabtu lalu apabila Siti menyanyikan kedua-dua lagu tersebut secara duet bersama Noh.
Persembahan mereka mendapat sorakan gemuruh peminat yang terhibur dengan gandingan luar biasa itu.
Biarpun ada pihak mempersoalkan pemilihan Noh sebagai salah seorang penyanyi jemputan untuk konsert ini, ternyata Siti lebih arif dan tahu apa yang dimahukannya. Terbukti duet mereka berdua bagaikan magis.
Gandingan Siti dan Umai juga tidak kurang hebatnya. Begitu juga dengan kemunculan Hafiz Suip dan Cakra Khan.
Namun, segmen paling meriah tentunya segmen terakhir iaitu lagu-lagu tradisional.
Memukau
Pembukaan segmen ini cukup memukau apabila Siti muncul melompat dari bawah pentas persis seorang srikandi.

SEPANJANG tiga dekad meladeni seni suara dan muzik sebagai kecintaan, Siti kekal menjadi puspita hati peminat.
Paling menarik apabila Siti mengajak seluruh stadium untuk berjoget lambak bersamanya sewaktu menyampaikan lagu Balqis, Ya Maulai dan Nirmala.
Jom kita jadikan ini sesi joget lambak terbesar. Manalah tahu boleh masuk Malaysia Book Of Records,” katanya.
Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, peminat-peminat yang sebelum ini sudah lebih dua jam duduk di kerusi masing-masing kini ligat menari mengikut rentak irama lagu tradisional alunan Siti.
Siti menutup konsert selama tiga jam itu dengan lagu Nirmala. Usai konsert berakhir, Siti turut meraikan hari lahirnya sebelum detik jam 12 malam.
Seluruh stadium menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi buatnya. Kata Siti dalam hantaran Instagram, malam itu adalah hadiah hari jadi terbaik buatnya.

IBARAT gema yang menyatukan seluruh alam, keasyikan vokal dan lenggok melodi lagu-lagu Siti memberi sebuah kemanisan tiada tandingan buat sekalian pemujanya.
Dan saya percaya malam itu bukan sahaja hadiah terbaik buat Siti, tetapi juga hadiah termanis buat 65,000 peminat Siti Nurhaliza.
Tuntasnya, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza ini bakal menjadi penanda aras baharu buat penyanyi di Malaysia.
Tidak dinafikan terdapat beberapa masalah teknikal dari segi bunyi dan pemandangan. Tetapi itu bukan penghalang untuk awal-awal lagi memuktamadkan bahawa konsert berkenaan bakal tercatat antara acara paling gemilang 2026.
Sungguh, menyatukan 65,000 peminat untuk hadir meraikan bakat anak tempatan, Siti terbukti mampu menganjurkan konsert di Stadium sebesar SNBJ sama seperti bintang antarabangsa yang lain.
Penulis yakin, seandainya masih ada peluang , pastinya konsert Siti akan menjadi lebih hebat, lebih gah dan lebih gemilang kerana kesempurnaan memerlukan proses, kerja keras dan dedikasi disamping modal yang tinggi. Untuk ke gerbang tersebut semua bekalan telah ada di gudang seni si lentera Timur itu.
Syabas Siti Nurhaliza! Sehingga bertemu lagi menjelang konsert yang akan datang. – HIBGLAM
