Syamsul kata, buatlah apa nak buat – Puteri Sarah

PELAKON Puteri Sarah Liyana mendapat lampu hijau daripada bekas suaminya, Syamsul Yusif berhubung saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar yang dikenali sebagai Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan.

Pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menjelaskan saman tersebut wajar diambil sebagai pengajaran kerana masih menjaja aib rumah tangganya.

Selain berbincang dengan Syamsul, pelakon Hijrah Jannah itu turut mengemukakan bukti-bukti fitnah wanita terbabit.

“Dapat semua bukti itu, saya terus hubungi Syamsul. Saya tanya dia apa nak buat ni? Kita dah tak ada masalah, tetapi orang pula ada masalah dengan kita.

“Kalau saya tak buat sesuatu, perkara ini akan berpanjangan dan akan menjejaskan imej saya.

“Jadi Syamsul kata pada saya, awak buatlah apa yang awak nak buat. Saya okey sahaja”, katanya ketika ditemui dalm sidang media teater muzikal kanak-kanak, Pak Pandir & Labu Ajaib, semalam.

Menurut Puteri Sarah, Wiwi mula bercakap buruk tentangnya biarpun tempoh edah perceraiannya dengan Syamsul sudah tamat.

“Saya dapat tahu segala informasi tentang wanita berkenaan (Wiwi Darvinda) masih lagi bercakap tentang saya dalam media sosial pada hari saya baru habis tempoh edah.

“Bila berlaku pada hari itu saya tertanya-tanya kenapa perkara ini tak habis-habis lagi. Saya tak kacau awak, awak pun janganlah kacau saya.

“Bila saya tengok apa yang dia tulis bukan sahaja melibatkan saya tetapi turut membabitkan keluarga saya dan juga Syamsul,” katanya kepada HibGlam.

Selain Syamsul, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menghubungi bekas bapa dan ibu mentuanya untuk menjelaskan tentang perkara ini, dan mereka juga memberi keizinan untuknya melakukan apa sahaja tindakan.

“Mereka juga kesian dengan saya dan mahu saya menjalani kehidupan dengan tenang. Mungkin ada yang kata saya ni tak habis-habis dengan isu ini, tetapi saya berharap biarlah ini yang terakhir. Saya juga sudah penat,” jelasnya.

Ditanya adakah dia berkemungkinan akan menarik semula saman ini seperti yang pernah dilakukan terhadap Ira Kazar sebelum ini, kata Sarah kali ini dia nekad dengan pendiriannya.

“Kali ini saya memang buat betul-betul dan tak akan tarik semula. Saya tarik saman terdahulu kerana saya dan Syamsul mencapai kata persetujuan supaya kami masing-masing boleh hidup dengan tenang dan jalani kehidupan masing-masing.

“Tetapi bila semuanya telah selesai, timbul pula isu ini,” ujarnya.

Syamsul Yusof dan Puteri Sarah sah bercerai pada 14 Jun lalu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok