‘Ibu uzur, saya pula bagai diberi nyawa kedua…’

DITIDURKAN akibat serangan angin ahmar pada Disember 2023 menjadi detik ngeri yang mengubah kehidupan penyanyi dan pelakon Isma Aliff. Impaknya, sehingga kini dia lumpuh sebelah kiri tubuhnya.

Daripada seorang individu cergas yang aktif memenuhi persembahan pentas, pemilik nama lengkap Muhammad Latiff Ismail, 61, akhirnya harus menerima hakikat menggalas status orang kelainan upaya (OKU).

Peralihan fasa kehidupan sebegitu sudah tentu menjejaskan keupayaannya, selain lebih teruk adalah menangani emosi turun naik semetelah ketika itu jantung dan paru-parunya turut berdepan jangkitan kuman.

Namun, umpama diberi nyawa kedua, Isma cuba bangkit menerjah dugaan agar dapat kembali pulih atau sekurang-kurangnya mampu berdikari demi menjaga ibunya, Maimon Tamby yang terlantar uzur.

KETIKA mula-mula lumpuh, ditambah lagi ada jangkitan kuman pada paru-paru dan jantung, Isma mengakui dia terpaksa berlagak kuat berdikari menguruskan diri kerana tidak mahu menambah beban yang harus dipikul adik perempuannya.

Mengakui bukan mudah berlagak kuat, tetapi itulah satu-satunya usaha supaya dia dapat bergerak menguruskan diri sendiri tanpa menyusahkan adiknya, Shamsidah Ismail.

“Apabila diuji begini, memang kita akan tertanya-tanya kenapa kita yang dipilih. Hati jadi rawan, jiwa jadi kosong. Semuanya perlukan bantuan orang kerana selepas keluar hospital saya gunakan lampin pakai buang.

Terfikir selama mana saya begini? Tengok di katil sebelah, ibu terlantar sakit. Bayangkan adik saya kena menjaga kami berdua. Sekuat mana kudrat dia sebagai wanita?

“Tapi Allah itu Maha Besar, Maha Penyayang, Maha Pengampun. Saya kuatkan tekad, bulatkan semangat, kembali semula kepada-Nya. Alhamdulillah, walaupun ambil masa setahun untuk boleh bergerak sikit-sikit seperti hari ini, doa saya dimakbulkan,” katanya.

Dengan sebak, pengacara juga pelawak popular era 1980-an menambah, dikurniakan rezeki menjaga syurganya sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir pada 2 September 2024 diibaratkan sebagai momen paling berharga.

Biarpun hanya dapat membantu melakukan hal termampu seperti menyuapkan makanan, manakala tugas berat dilakukan adiknya, semua itu sudah menyuntik kelegaan apabila sempat juga berbakti buat ibu tercinta.

NAMPAK tenang, Isma sempat bercerita bahawa sofa yang diduduki penulis itu dahulunya menempatkan katil arwah ibunya.

Berkunjung ke kediamanannya di Ampang baru-baru ini, senyuman Isma cukup hangat menyambut kehadiran penulis.

Biarpun tidak dapat menyambut di hadapan pintu, wajah bintang filem Marah-Marah Sayang itu berbunga bahagia menyantuni tamu.

Hanya duduk di birai katil yang menjadi saksi kegetiran sebagai insan kurang upaya, sesekali Isma juga berstatus datuk kepada dua cucu itu meminta maaf kerana tidak dapat menyediakan kudapan buat penulis bersama jurugambar.

Menyedari rasa ingin tahu penulis tentang kisah hidupnya, anak jati Kuala Lumpur itu sempat bercerita, sofa hitam yang kini menjadi tempat bersantai bersebelahan katil itu dahulunya menempatkan katil arwah ibunya.

Ibu saya memang sakit lama, terlantar sahaja dan tidak boleh bersembang. Dalam keadaan saya yang juga tidak boleh bergerak, saya tetap berborak dengannya.

“Hampir setahun juga, selepas saya boleh bergerak menggunakan tongkat kaki empat, dapatlah tolong adik jaga dia,” ujarnya mengimbas memori.

KALAU boleh, dia enggan sekadar mahu hidup bergantung harap kepada wang bantuan zakat dan insan-insan terdekat.

Pernah jual ikan

Lebih banyak berkongsi perihal arwah ibunya, ungkap Isma, wanita itu membentuknya menjadi lelaki berani dan terus berusaha mengejar impian walau hanya bersekolah setakat tingkatan empat.

“Kami orang susah. Dahulu, selepas berhenti sekolah, saya tolong ibu jual kuih untuk bantu keluarga. Pagi petang saya berbasikal jual kuih di Keramat. Waktu itu kami tinggal di sana.

Banyak pekerjaan lain saya buat, jual ikan di pasar pagi, kerja di kedai roti dan jadi pemandu penerbit popular, Kesuma Booty,” ceritanya dengan nada teruja.

Akuinya lagi, ketika bekerja menjadi pemandu dan menghantar anak-anak individu berpengaruh dalam dunia hiburan, dia mula berjinak-jinak dengan muzik, tambahan pula dia kerap ke studio milik Kesuma, Booty Boys yang juga satu-satunya studio milik komposer Melayu pada era tersebut.

Kata Isma lagi, studio berkenaan menjadi pertemuan ramai karyawan hebat termasuk Manan Ngah, Roslan Aziz serta penyanyi popular seperti Azlina Aziz dan Francissca Peter.

Saya mula belajar main gitar, kemudian Kesuma minta saya buat lirik untuk sebuah lagu. Dari situ saya diberi kepercayaan buat seni kata lima lagu termasuk untuk Azlina dan Francissca sebelum saya dapat buat album pertama,” kongsinya.

Tambah Isma yang kemudian aktif berlakon, melawak dan mengacara, kali terakhir beraksi di pentas adalah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Datuk Jamal Abdilllah, Liza Aziz serta ramai penyanyi seangkatan sekitar 2023.

BIASA hidup susah sejak kecil, Isma segan bergantung hidup dengan bantuan orang sekeliling serta rakan dan berharap ada pihak sudi menawarkan pekerjaan kepadanya.

Dengan nada tersekat-sekat, kata Isma, jika boleh dia ingin beraksi semula untuk mencari pendapatan tanpa perlu bergantung kepada bantuan zakat.

“Sewa rumah ini zakat yang bayarkan, begitu juga belanja harian. Saya hidup sendiri, jadi tiada belanja besar. Adik, jiran dan kawan-kawan pun kerap hantar makanan. Tiadalah saya cerewet bab makan, kena jaga makan saja.

Kawan sekolah pun banyak kali tolong bawa pergi klinik atau hospital. Macam rakan artis, antaranya Ebby Yus, kerap datang temankan atau bawa keluar ambil angin. Jahanam kalau terperap di rumah sahaja.

“Apa pun kadangkala saya teringin nak bekerja sebab sampai bila nak bergantung kepada bantuan. Dahulu saya pernah jadi pekerja terbaik AIA Insurance. Itulah, semua itu kenangan. Kalau sesiapa nak panggil, saya alu-alukan,” tuturnya berharap.

Menurut bapa dua anak itu, rutin fisioterapi dan lakukan senaman ringan tetap diteruskan. Jika ada rezeki lebih, dia akan menjalani rawatan akupuntur dan perubatan al Fashdu iaitu membersihkan darah.

Semua memerlukan kos tinggi iaitu sekitar RM150 bagi satu sesi lengkap akupuntur dan sepatutnya perlu kerap sebab memang beri kesan baik untuk pergerakan saya. Cuma jika duit terhad saya terpaksa tunggu bulan berikutnya untuk lakukan rawatan ini,” katanya.

Cukup sampai di situ, selagi ada hayat, hidup harus diteruskan. Semoga insan yang pernah menghiburkan banyak jiwa itu kembali sihat, mudah-mudahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok