Bercerailah secara baik, kasihan anak tanggung luka!

ENTAHLAH, dunia hiburan tanah air kini seolah-olah semakin hilang seri dan sakinahnya.

Kisah yang diperkatakan adalah perihal paling tidak disukai agama, kalau bukan cerita penyondol, mesti isu dadah. Jika tidak, pastilah kes cerai-berai deretan selebriti tanah air yang menjadi topik utama.

Rumah tangga artis boleh diibaratkan seperti istana yang dibina dengan simen tiruan, tampak megah di luar, namun dalam sekelip mata, mahligai kebanggaan boleh roboh menyembah bumi tanpa penyebab hitam putih.

Begitulah yang berlaku dalam kisah penyanyi Nubhan, yang selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, dia mengejutkan ramai apabila didakwa sudah melafazkan cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang menetapkan 2 Disember depan bagi sebutan kes pengesahan lafaz cerai berkenaan.

Namun, seperti biasa, sebelum sempat pintu mahkamah dibuka, drama sudah pun bermula dalam media sosial.

Setiap satu kenyataan bagai minyak bersimbah ke bara, membakar emosi khalayak yang gemar menjadi hakim di ruang komen.

Tuduhan, sindiran dan ‘paku buah keras’ bertukar tangan ibarat peluru dalam perang menuding yang tak berkesudahan.

Isu mula menggelegak apabila timbul dakwaan kononnya ibu mentua Nubhan, Zailah Zainudin menuntut RM5 juta sekiranya anaknya diceraikan.

Fitnah itu pantas bertebaran dalam media sosial sebelum akhirnya dinafikan pihak keluarga Dr. Afifah sendiri.

Beberapa hari ini, saya dan keluarga melalui ujian berat apabila pelbagai cerita dan tuduhan disebarkan secara terbuka di media sosial.

“Sebagai ibu, saya sedih nama saya dan keluarga dibawa ke perhatian umum dengan pelbagai tafsiran tidak benar,” kata Zailah yang sudah melantik peguam bagi menangkis tohmahan tersebut.

Belum sempat reda isu tuntutan, Nubhan pula memfailkan hadanah terhadap tiga anak hasil perkahwinan mereka iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille. Menurut peguam syarienya, Mohd. Redzuan Ramli, penyanyi itu memohon hak penjagaan kekal dan interim bagi memastikan kebajikan anak-anak terpelihara.

Namun, rumah tangga yang sudah retak semakin bergegar apabila Dr. Afifah mendakwa wujudnya ‘orang ketiga’ yang terlalu menunjukkan kasih terhadap anak-anaknya.

Bolehkah masing-masing sayang anak sendiri? Bibik ada anak sendiri, orang ketiga pun ada anak sendiri. Tak perlu berebut sangat anak saya. Tapi kalau kahwin orang muda, bolehlah buat anak baru.

“Kita ini bukan ibu tumpang tau, itu anak-anak saya. Tak perlu sayang beria sangat wahai orang luar,” luahnya dengan nada berbalut kecewa.

Di tengah gelombang tuduhan dan sindiran, Nubhan pula tampil mengakui segala silap.

Entah sekadar basa-basi, lelaki berusia 39 tahun itu mahu memikul tanggungjawab atas apa yang berlaku serta berharap tiada lagi pihak menambah garam ke luka sedia ada.

Saya rasa biarlah saya letak semua kesalahan dekat saya. Benda ini bukan mudah untuk saya fokus. Macam-macam hal terjadi. Patut dihentikan. Saya nak fokus anak-anak.

“Saya minta semua hormat dia dan saya pun akan terus hormat sebagai ibu kepada anak-anak saya. Kalau orang nampak apa berlaku dalam media sosial, tolonglah jangan tambah-tambah cerita,” luahnya.

Namun, seperti kebiasaan dunia selebriti, bila hati sudah terbelah dua, yang paling menderita bukan suami atau isteri, tetapi zuriat yang menjadi saksi perang dingin di antara mereka.

Anak-anak yang menanggung luka walau tidak pernah minta dilahirkan dalam pertempuran ego dan amarah orang dewasa.

Kalau sudah tiada cinta, bercerailah dalam terma baik. Tidak perlu bermandi lumpur fitnah dalam media sosial, menelanjangkan aib yang sepatutnya dikunci rapat dalam kamar rumah tangga.

Perpisahan bukan noktah, cuma garis halus antara maruah dan kebodohan manusia dewasa yang terlalu leka membuktikan siapa paling benar.

Ironinya, semua pihak bercakap tentang maruah dan kebenaran, tapi jarang yang benar-benar peduli tentang anak-anak kecil yang melihat segalanya dalam diam.

Mereka tak perlukan ibu bapa sempurna, cukup sebuah rumah yang aman. Kasihan anak. Kalau sudah tidak mahu sehaluan, berpisahlah dengan maruah. Jangan jadikan mereka ‘collateral damage’ kepada cinta yang sudah mati.

Dunia boleh menilai, tetapi anak-anaklah yang akan membesar membawa parut daripada kisah ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok