MENGUNDANG sebak, pempengaruh media sosial, Harszan mendedahkan dirinya merupakan bayi terbuang yang ditemui di sebuah pangsapuri.
Harszan atau nama sebenarnya Nurnazrah Abd. Sam, 23, berkata sebaik dijumpai dia terus dibawa ke hospital, namun selepas itu tiada sesiapa datang menuntutnya.
“Orang jumpa saya dan bawa ke hospital. Masa itu tak ada siapa tuntut saya sebagai waris,” katanya menerusi sesi temubual di program audio siar Al Team Podcast.
Lebih menyayat hati apabila ketika dijumpai orang awam darah ditubuhnya sudah kering yang menandakan dia sudah dibiarkan di situ dalam tempoh agak lama.
“Darah di badan pun sudah kering, jadi mungkin saya sudah ditinggalkan lebih sehari,” katanya menceritakan semua kisah lampau.
Tambah Harszan, ketiadaan waris menyebabkan dia diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga berusia dua tahun sebelum diambil sebagai anak angkat.
“Saya kemudian diletak di rumah kebajikan masyarakat sehingga usia dua tahun. Selepas itu, saya dijadikan anak angkat oleh sepasang suami isteri,” kongsinya.
Berikutan statusnya, pempengaruh yang dikenali bersuara garau seperti lelaki itu berdepan kesukaran memperoleh kewarganegaraan Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri.
“Saya tiada IC (kad pengenalan) kerana ketika dibuang, tiada yang daftarkan kelahiran saya di JPN (Jabatan Pendafataran Negara). Saya tiada sijil lahir.
“Saya tunggu dari umur 12 sampai 21 tahun. Dalam tempoh sembilan tahun itu, saya tak boleh naik kapal terbang, tak boleh buka akaun bank dan susah nak dapat kerja.
“Saya pernah kena halau masa minta kerja. Mereka cakap saya bukan orang Malaysia. Pernah juga ditawarkan gaji RM500 saja sebab saya tak ada IC.
Menerusi ruangan komen, mengkagumi semangatnya yang terus tabah walau hidupnya sarat dugaan sejak hari pertama mengenal dunia.
“Tak sangka Harszan yang lucu dan selalu buat video hiburkan kita rupa-rupanya punya kisah sedih tapi dia kental,” kata netizen. -HIBGLAM
