Siapa pemilik trofi Pelakon Lelaki, Wanita terbaik FFM34?

SETIAP kali penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM), kategori Pelakon Lelaki Terbaik dna Pelakon Wanita Terbaik pasti bakal menjadi tumpuan ramai.

Bukan calang-calang, senarai pencalonan pada FFM ke-34 pada tahun ini menyaksikan pertembungan barisan nama besar dalam industri perfileman tanah air.

Menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, lima finalis utama ialah Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee) yang masing-masing memaparkan keunikan kehebatan lakonan berbeza.

Sharnaaz menerusi filem pecah panggung Blood Brothers: Bara Naga membuktikan mampu membawa watak dengan kedalaman emosi dan melakonkan babak aksi mencabar diri.

Namun, dari segi tafsiran watak, Beto muncul sebagai saingan utama yang berpotensi mencipta kejutan menerusi Reversi.

Menerusi filem tersebut, dia mempamerkan kematangan sebagai pelakon yang berani bereksperimen dan keluar dari zon selesa.

Bagaimanapun, peluang Qi yang berjaya meruntun emosi penonton dalam Babah, lakonan mendebarkan Aeril menerusi Laknat dan karisma Tony dalam Mencari Ramlee tidak boleh dipandang sepi apabila masing-masing berjaya membolos senarai top 5 untuk kategori tersebut.

Manakala bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM34, nama yang tercalon bersaing sengit bagi merebut trofi kemenangan.

Kategori Pelakon Wanita Terbaik turut menyaksikan saingan sengit nama besar dan generasi baharu iaitu Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Sweet Qismina (Babah), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).

Nabila tampil berani tanpa dialog menerusi Telaga Suriram manakala Sofia menyerlah dengan kelas tersendiri melalui watak Zaiton dalam Mencari Ramlee.

Khatijah pula mempamerkan kekuatan karakter dalam genre seram dan Maya mengekalkan reputasi sebagai aktres yang mampu menjiwai watak dengan kemampuan tersendiri.

Sementara, Sweet pula mengejutkan ramai dengan lakonan luar biasa dalam Babah selain memberi saingan sengit kepada empat pelakon senior lain.

Secara keseluruhan kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik FFM34 jelas memperlihatkan tahap kematangan industri perfileman tempatan yang semakin meningkat.

Jika juri mengutamakan keberanian artistik, nama seperti Beto dan Sofia mungkin berada di hadapan.

Namun, jika penghayatan emosi dan kesan terhadap penonton menjadi ukuran, Sharnaaz dan Nabila mempunyai peluang besar untuk dinobatkan sebagai pemenang.

Tidak mustahil juga, kejujuran lakonan Qi dan Sweet Qismina mencipta kejutan pada malam anugerah.

Tahun ini, kategori Filem Terbaik juga bakal menjadi rebutan penggiat filem tempatan apabila menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta kepada pemenang.

FFM34 bakal mencipta sejarah baharu dalam dunia perfileman tanah air bakal bersiaran secara langsung malam ini menerusi TV2.

Acara berprestij tersebut akan dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok