SUDAH hampir 30 tahun peristiwa hitam meragut nyawa suaminya berlaku, namun detik hitam tersebut masih basah dalam ingatan pelakon popular era 1990-an, Nor Albaniah, 55.
Setia tanpa ada lelaki lain di sisi sehingga ke hari ini sejak suaminya Sudarman Daud yang merupakan pelumba kereta terkenal meninggal dunia, Albaniah akui sangat mencintai arwah suaminya biarpun dia hanya sempat bergelar isteri selama dua tahun sahaja.
“Saya masih ingat lagi, hari berlakunya kemalangan adalah tarikh hari lahir arwah. Hari itu dia pulang lewat ke rumah. Jadi saya membebel kepadanya di dalam kereta ketika dalam perjalanan untuk pergi makan malam meraikan hari jadinya.
Dia hanya diam dan tersenyum sambil tengok saya membebel. Kemudian tiba-tiba kereta yang kami naiki terlanggar pembahagi jalan dan berpusing tiga kali, selepas itu saya sudah tidak sedarkan diri.
“Kami berdua cedera parah dan arwah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Ketika sampai di hospital, saya masih ingat doktor mahu gunting baju saya. Tetapi saya kata, jangan kerana saya dan arwah suami ketika itu masing-masing memakai baju dan jam tangan yang sama,” katanya.
Dek kecederaan parah yang dialami, doktor terpaksa merahsiakan situasi kematian suaminya selama beberapa minggu.
“Saya alami kecederaan yang teruk di kepala sehingga perlu tanda tangan ketika hendak dibedah, itu antara hidup dan mati. Kepala saya dipotong.
“Sebab itu sehingga hari ini gaya rambut saya sama sahaja. Saya tutup parut pembedahan di bahagian atas dahi.
Selepas tiga hari baru saya sedar. Tetapi saya tak boleh bercakap. Hanya boleh buat isyarat. Saya tanya mana suami, mereka kata dia di tingkat dua. Saya nak pergi tengok tetapi mereka tak benarkan.
“Sampailah minggu ketiga, doktor akhirnya beritahu saya bahawa suami sudah tidak ada lagi di dunia ini.
“Ketika itu saya cuba beritahu diri saya bahawa suami saya sebenarnya masih ada.
“Selepas sebulan, saya cuba untuk pergi ke tingkat dua mencarinya, tetapi dihalang oleh jururawat,” kongsinya.
Lari hospital
Akibat tidak tahan tinggal di hospital, Albaniah akhirnya mengambil keputusan untuk melarikan diri.
“Selepas sebulan lebih saya beritahu kakak, saya nak lari.
Saya tak tahan tinggal di hospital. Jadi saya lari dan tinggal di rumah saudara. Selepas itu, saya cuba cari jalan ke hospital nak jenguk suami.
“Akhirnya selepas tiga bulan barulah saya dapat terima hakikat bahawa suami saya sudah pergi untuk selama-lamanya, itu pun apabila mereka pulangkan semua benda kepunyaan arwah suami,“ jelasnya.
Di sebalik tragedi yang menukar kehidupannya, ada satu hal benar-benar menguris hati Albaniah apabila ada media melaporkan pada malam kemalangan, dia yang memandu kereta seolah-olah penyebab kejadian.
“Bila berita itu keluar, penuh wartawan di luar wad. Polis pula hari-hari datang untuk soal siasat. Kerana jika betul saya yang memandu, saya boleh dituduh membunuh.
“Jadi saya terpaksa minta tolong pihak produksi untuk menjadi saksi bahawa saya tidak pernah memandu ke lokasi penggambaran. Selalunya saya diambil dan dihantar pemandu produksi atau arwah,” ujarnya.

Foto kenangan Nor Albaniah bersama suaminya, Allahyarham Sudarman Daud, pelumba kereta yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 1996.
Selepas ditimpa tragedi hitam, Albaniah mengambil keputusan berpindah ke kampung halamannya di Perak untuk memulakan hidup baharu.
“Saya ambil masa selama enam bulan untuk berjalan semula dan setahun untuk pulih sepenuhnya.
“Sebelah muka saya teruk kesan kemalangan. Dahulu mana ada rawatan kosmetik seperti sekarang. Jadi saya terpaksa pergi mengurut untuk betulkan wajah. Sakitnya sampai saya menjerit-jerit.
“Selepas sembuh, saya kembali terima tawaran berlakon drama.
“Jadi saya ulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur naik kereta api demi membesarkan anak saya,” kongsinya.
Belum tutup pintu hati
Melihatkan Albaniah tidak pernah berkahwin selepas kematian suami, pasti ramai yang tertanya, adakah dia menutup rapat pintu hatinya.
Bergelar ibu tunggal pada usia 25 tahun dan masih jelita, pasti ramai lelaki cuba mendekatinya.
“Nak mendekati memang ramai tetapi nak jumpa yang betul-betul jujur itu bukan mudah. Saya wanita yang kematian suami. Bukannya bercerai. Kalau boleh saya mahu lelaki yang boleh menjaga saya.
“Dahulu ada kawan-kawan arwah yang cuba mendekati. Ada yang jujur ada juga sebaliknya. Ada yang baru berkenalan tetapi sudah mula nak pegang-pegang tangan,” ceritanya.
Satu hal lagi yang khalayak perlu faham, biarpun tidak berjodoh lain sehingga sekarang, Albaniah sebenarnya tidak pernah menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan yang bergelar lelaki dalam hidupnya.
Dia bahkan tidak kisah, andai yang mahu mendekatinya adalah lelaki berusia jauh lebih muda.
“Saya okey sahaja kalau ada lelaki muda yang mahukan saya.
Jodoh adalah ketentuan Allah. Siapa tahu mungkin saya kembali bertemu jodoh pada usia 60 tahun,” katanya.
Bahagia bersama cucu
Kini Albaniah lebih selesa hidup sendiri sambil ditemani cucu yang berusia tujuh tahun.
“Dialah peneman, penguat dan pengubat duka saya. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, dia tinggal dengan saya. Kami bersama, ikatan kasih sayang antara kami jadi sangat kuat,” kongsinya.
Ditanya bagaimana hubungan bersama anak tunggalnya, Syarra yang pernah dipenjara sebelum ini, kata Albaniah dia dan anaknya okey sahaja.
“Ketika kejadian itu berlaku, saya pernah salahkan diri sendiri. Saya rasa ini dugaan kali kedua untuk saya.
“Tetapi ramai yang hadir memberi semangat. Mereka kata jangan salahkan diri kerana ketika kejadian, anak saya sudah dewasa.
Saya sudah berikan yang terbaik untuk besarkan dia. Dia belajar sehingga universiti. Dia budak pandai dan bertugas sebagai tenaga pengajar.
“Bila usia dia melepasi 21 tahun, apa yang dia buat dalam hidup adalah keputusan dan pilihannya sendiri.
“Tanggungjawab saya sudah selesai. Ya, awal-awal dahulu memang saya marah.
“Tetapi saya tidak mahu terus memendam kemarahan kerana tidak mahu hubungan saya dengan anak menjadi renggang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Albaniah kini sibuk menjadi penggambaran filem seram berjudul Manrobbuka arahan Suhaimi Lua.
